TAPAH – Barisan Nasional (BN) bukan satu cabaran besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning meskipun mempunyai kelebihan sebagai parti kerajaan.
Calon PN, Abd Muhaimin Malek berkata, walaupun BN telah mengumumkan beberapa projek pembangunan di kawasan tersebut, ia adalah perkara biasa yang sering berlaku dalam setiap pilihan raya apabila parti pemerintah bertanding.
“Ini bukan cabaran yang luar biasa kerana kita sudah biasa berhadapan dengan situasi sebegini dalam PRK mahupun Pilihan Raya Umum (PRU).
“Cabaran seperti ini telah lama menjadi lumrah bagi pembangkang,” katanya ketika dihubungi Malaysia Gazette (MG) Perak.
Mengulas lanjut, beliau berkata kehadiran Parti Sosialis Malaysia (PSM) dalam pilihan raya kali ini juga tidak dilihat sebagai satu ancaman besar kepada PN.
“PSM tidak menjadi cabaran utama, namun kita tidak boleh memandang rendah. Mereka mungkin mampu memecahkan undi, terutamanya dalam kalangan pengundi India dan Cina yang selama ini cenderung menyokong BN,” ujarnya.
Sementara itu, Abd Muhaimin turut menyentuh mengenai perubahan strategi kempen BN yang tidak lagi menganjurkan ceramah besar-besaran, sebaliknya memilih pendekatan ziarah rumah ke rumah bagi mendekati pengundi.
“Rata-rata pengundi yang saya temui menyuarakan keinginan untuk melakukan perubahan. BN nampaknya mengubah strategi kerana bimbang ceramah besar tidak mendapat sambutan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa PN tetap meneruskan pendekatan mereka melalui ceramah kecil serta pertemuan secara bersemuka dengan pengundi bagi menjelaskan dasar dan tawaran gabungan tersebut menjelang hari pengundian.
PRK DUN Ayer Kuning dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini susulan kekosongan kerusi yang berlaku selepas penyandangnya, Ishsam Shahruddin meninggal dunia pada 22 Februari lalu. – MG Perak
Artikel Berkaitan: