TAPAH – Barisan Nasional (BN) menyasarkan 18,000 undian bagi memastikan kemenangan parti berkenaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, 26 April ini.
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sasaran berkenaan selari dengan keputusan yang diperoleh parti berkenaan bersama Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Menurut Saarani, mengikut data pada PRU lalu sebanyak 75 peratus pengundi Ayer Kuning keluar mengundi dan BN menang dengan 9,088 bilangan undi manakala PH 6,875 undi.
“Kita tidak cakap besar dan dalam mesyuarat tadi saya sudah isytihar kerana pengundi berdaftar DUN Ayer Kuning berjumlah 31,897.
“Atas kertas jika diambil kira semangat di Nenggiri dan Mahkota satu campur satu jika BN semua 9,000 undi dan 6,000 undi PH jumlahnya 15,000 undi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN bagi PRK berkenaan, di Dewan Serbaguna Kampung Tersusun Haji Tahir, Temoh di sini, pada Isnin.
Saarani berkata, bagaimanapun itu bukan jumlah sebenar yang disasarkan memandangkan jentera BN, Friends of BN dan PH seluruh negara bakal turun membantu BN mengekalkan kemenangan kerusi N48 itu.
Turut sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad. Foto ABDULLAH YUSOF, 07 APRIL 2025.
“Yang datang ramai-ramai satu negara tak ka 15,000 sahaja kena tambah maka kita kata dengan kehadiran rakan-rakan seluruh negara kita mahu capai 18,000 undian.
“Saya mahu bila semua turun nanti kalau orang tanya khabar kita kena jawab 18,000, jika ada yang melatah dicucuk jawab 18,000. Itu semangat 18,000,” katanya.
Pada majlis sama Saarani turut mengumumkan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir sebagai calon BN bagi PRK DUN Ayer Kuning, 26 April ini.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahruddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu.
Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari pengundian pada 26 April dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April depan.
Pada PRU15, Ishsam mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 2,213 undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586). -MG Perak
Artikel Berkaitan: