TAPAH – Berbaki kurang tiga jam sahaja lagi untuk proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning berakhir pukul 6 petang, peratusan keluar mengundi setakat ini boleh dikatakan amat mengecewakan.
Setakat pukul 3 petang, hanya 50.18 peratus daripada 31,281 pengundi keluar menjalankan tanggungjawab masing-masing sebagai pemilih.
Angka itu dilihat masih jauh berbanding peratusan yang dicatatkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) iaitu sebanyak 73.47 peratus.
Malah, peratusan keluar mengundi itu juga sukar untuk mencecah sasaran 70 peratus seperti ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette di sebahagian daripada 19 Pusat Mengundi juga mendapati suasana semakin lengang selepas pukul 2 petang.
Meskipun cuaca cerah pengundi dilihat semakin berkurangan menjelang sebelah petang.
Berdasarkan daftar pemilih SPR seramai 31,281 pengundi akan menunaikan tangggungjawab masing-masing hari ini bagi memilih wakil rakyat baharu pada PRK Ayer Kuning.
Sebanyak 19 pusat mengundi dengan 63 saluran dibuka tepat jam 8 pagi tadi bagi membolehkan proses pengundian dijalankan sebelum ditutup secara berperingkat pada jam 4 dan 6 petang.
Hanya sebuah pusat mengundi akan ditutup jam 4 petang iaitu Sekolah Kebangsaaan (SK) Toh Tandewa Sakti manakala 18 buah lagi ditutup jam 6 petang. -MG Perak
Artikel Berkaitan: