TAPAH – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir sudah meletakkan jawatannya di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh, awal minggu ini.
Difahamkan, Mohamad Yusri, 54, meletakkan jawatan sebagai pensyarah dan Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di institusi itu kerana mahu menjaga integriti, reputasi dan parti terutamanya dalam tempoh PRK.
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Mohamad Yusri telah menghantar surat peletakan jawatan tersebut kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Putrajaya.
“(Mohamad Yusri) sudah letak jawatan. Hari ini (dijangka) beliau akan dapat surat pelepasan daripada JPA,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Keibubapaan Murid Orang Asli Di Dewan Seri Bitara, Sekolah Menengah Sains Tapah dekat sini, pada Khamis.
Hadir sama, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Mohd Zolkafly Harun serta Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Perak, Dr. Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan.
Dalam pada itu, Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata, beliau yakin calon yang ditampilkan oleh BN itu merupakan calon yang berwibawa, di samping dapat meneruskan legasi bekas penyandang kerusi DUN Ayer Kuning, Allahyarham Ishsam Shahruddin.
Ujar Saarani lagi, beliau juga menaruh keyakinan dan harapan kepada pengundi pelbagai peringkat termasuk golongan pengundi muda agar akan memberi sokongan kepada calon yang mampu berfungsi sebagai seorang wakil rakyat yang baik.
Namun beliau berkata, pengundi-pengundi di DUN Ayer Kuning sudah bijak dan rasional dalam membuat keputusan untuk memilih seorang wakil rakyat daripada parti kerajaan untuk terus berada di kerusi DUN berkenaan.
“Kalau orang Ayer Kuning nak memilih jadi pembangkang ia sangat pelik, (tatkala ketika ini semua) orang berlumba nak jadi kerajaan.
“Sebab itu saya kata tak salah kalau ada orang Pas nak kekal dalam Pas tak apa, (tetapi) undi BN.
“Orang Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) nak kekal (dalam parti) itu pun tak apa saya tak marah, tetapi undi BN. Sebab kita nak memilih wakil rakyat kerajaan yang akan terus buat kebajikan,” katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 26 April, dengan hari penamaan calon pada 12 April dan pengundian awal pada 22 April.
Pada Isnin, BN mengumumkan Mohamad Yusri yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah sebagai calon BN bagi PRK DUN Ayer Kuning.
Selain itu, Perikatan Nasional (PN) menampilkan Yang Dipertua Pas Tapah, Abd Muhaimin Malek, 44, sebagai calon, sementara Parti Sosialis Malaysia (PSM) mempertaruhkan Timbalan Setiausaha Agungnya, Bawani KS, 40.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PRK Ayer Kuning: Dr Mohamad Yusri tidak sangka dipilih calon BN