TAPAH – Meskipun tahap kesihatan kurang baik, namun seorang anggota polis tetap menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada Selasa.
Koperal Mahamat Udin, 60, merupakan antara 500 pengundi awal yang membuang undi di Dewan Rekreasi Pegawai Kanan, Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, dekat sini.
“Saya tetap hadir awal untuk tunaikan tanggungjawab ini walaupun kesihatan saya tidak berapa baik.
“Ia susulan saya terlibat dalam kemalangan motosikal kerana terbabas sendiri ketika di Bidor enam tahun lalu.
“Ini juga menjadi pengalaman pertama mengundi fizikal dengan mencelup jari ke dalam dakwat. Sebelum ini, saya undi pos,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Dia yang berkerusi roda dibantu petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selesai menjalani proses membuang undi sekitar jam 8.50 pagi.
Sementara itu, seorang wanita Orang Asli yang dalam tempoh berpantang turut berjaya menunaikan tanggungjawab mengundi awal sambil menggendong bayi lelaki yang berusia 32 hari.
Suri rumah, Surya Mat, 40, berkata, seawa jam 7 pagi dia telah bersiap-siap melakukan persiapan sebelum dibawa suami untuk membuang undi.
“Saya terpaksa membawa anak keempat, Shane Alfie Shukor bersama kerana anak masih lagi kecil dan tiada siapa yang bantu menjaganya.
“Saya tidak perlu beratur panjang kerana dapat laluan khas bersama bayi yang saya gendong. Syukurlah proses mengundi sekejap sahaja,” katanya.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional, Dr Mohamad Yusri Bakir; Abdul Muhaimin Malek (Perikatan Nasional) dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (PSM). – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PRK Ayer Kuning: SPR jangka lebih 90 peratus tunai tanggungjawab undi awal