TAPAH – Calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek menjangkakan akan ada perubahan yang berlaku pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning esok.
Menurutnya, sepanjang 14 hari tempoh kempen berlangsung, beliau berpuas hati dengan gerak kerja parti serta maklum balas daripada pengundi di kawasan tersebut.
“Saya berpuas hati dengan perjalanan kempen sepanjang dua minggu ini. Alhamdulillah, tiada insiden yang mencabar sehingga berlaku perselisihan dan sebagainya.
“Sejak dari awal kita sudah berpesan supaya berkempen dengan baik, tidak menerima provokasi,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak, di Padang Awam Tapah Road, di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, walaupun terdapat beberapa isu dibangkitkan sepanjang tempoh berkempen namun perkara itu tidak menjadi masalah besar.
“Alhamdulillah, sehingga ke saat ini walaupun ada isu-isu yang dibangkitkan atau perkara yang menyebabkan kemarahan dibangkitkan, ia tidak dilayan.
“InshaAllah, kita menjangkakan akan ada perubahan yang akan berlaku pada esok hari,” ujar Yang Dipertua Pas Kawasan Tapah itu.
Terdahulu, Abd Muhaimin bersama Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyertai perlawanan bola sepak empat penjuru anjuran PN di Padang Awam Tapah Road, petang tadi.
Perlawanan itu melibatkan empat pasukan iaitu Pilihan Yus Tapah, Pilihan Ex- Player Perak, Pilihan Menteri Besar (MB) Kedah dan Tapah Road FC.
Bekas pemain bola sepak kebangsaan turut hadir bersama-sama memeriahkan perlawanan tersebut antaranya Safee Sali, Khalid Jamlus, Radhi Mat Din dan Baddrol Bakhtiar. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PRK Ayer Kuning: Abd Muhaimin lengkap jelajah kempen semua PDM