PRK Ayer Kuning: Jangan pandang ‘enteng‘ pada PSM

TAPAH – Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, melihat persepsi parti lawan yang sebelum ini menganggap parti diwakilinya sebagai ‘pengacau‘ dan pemecah undi sudah berubah.

Beliau juga berpendapat bahawa kedua-dua parti ‘gergasi’ itu kini berasa tergugat dengan kehadirannya sebagai salah seorang pencabar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

“Pada pandangan saya, awalnya BN (Barisan Nasional) dan PN (Perikatan Nasional) ingat PSM adalah parti kecil sekadar parti pengacau, parti pecah undi. Jadi, mereka ambil mudah.

“Tetapi, selepas mereka melihat kempen kita sepanjang tempoh lebih seminggu, kita sudah naikkan banyak bendera, bunting dan kain rentang.

“Saya rasa mereka (parti lawan) rasa tergugat dan baru sekarang ambil serius tentang kita,“ jelasnya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak malam tadi.

Dalam pada itu, beliau turut meluahkan rasa kesal apabila bendera PSM yang dipasang bagi kempen PRK Ayer Kuning telah dicabut oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau mendakwa kejadian itu telah berlaku di Kampung Coldstream, Bidor dan Tapah Road sekitar dua hari lalu.

“Bendera-bendera kami telah dicabut dan dibuang di satu kawasan. Susulan kejadian itu, kami telah membuat laporan kepada SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) dan Pengurus Kempen turut membuat aduan di Balai Polis Air Kuning.

“Ini menunjukkan pihak lawan telah rasa tergugat dengan kempen kita dan saya rasa sepanjang hampir dua minggu berkempen, mungkin media juga telah melihat bagaimana kita banyak mengetengahkan isu-isu rakyat,“ katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya turut mempertingkatkan segala tenaga dan usaha beberapa hari sebelum kempen berakhir pada jam 12 tengah malam, Jumaat ini.

“Kali ini kita masih menggunakan dua strategi iaitu kempen dari rumah ke rumah dan melalui media sosial. Ini adalah strategi kita.

“Kita juga bertemu rakyat pada waktu malam dan bagi mendekati anak muda kita cuba menggunakan media sosial.

“Pendekatan dari rumah ke rumah memberi peluang untuk kita mendekati rakyat dan saya rasa respons dari rakyat lebih mengalu-alukan kedatangan saya memandangkan saya telah bertanding untuk kali kedua di kawasan sama.

“Mereka (Pengundi) lebih menunjukkan sokongan dan  memberi motivasi kepada kita. Ini adalah ‘booster‘ kepada kita, berbeza dengan PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15).

“Sama ada ia akan diterjemahkan dalam undi atau tidak, kita perlu tunggu sehingga 26 April ini,“ ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

PRK Ayer Kuning: Bawani KS diumum calon PSM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI