PRK Ayer Kuning: Mutu capaian Internet akan segera ditambah baik

TAPAH – Kementerian Komunikasi akan memastikan mutu capaian internet segera ditambah baik agar tidak mengganggu sebarang perjalanan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, susulan itu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengadakan satu mesyuarat khas bersama syarikat-syarikat telekomunikasi pada Jumaat.

Katanya, ia bagi memastikan semua syarikat telekomunikasi berkenaan akan mengambil langkah segera bagi menyelesaikan isu capaian internet di kawasan DUN berkenaan.

Kata beliau lagi, ia khususnya bagi proses penamaan calon dan pengundian berjalan dengan baik di sekolah-sekolah yang terlibat, terutamanya yang berada di kawasan perkampungan Orang Asli.

“Walaupun secara purata capaian internet berada pada tahap yang memuaskan, tetapi ada setengah lokasi ia sebaliknya.

“Oleh itu saya menantikan hasil mesyuarat yang akan diadakan antara MCMC dan syarikat-syarikat telekomunikasi.

“Kita tidak akan menunggu lama, sebab itu MCMC akan adakan perjumpaan untuk sahkan tindakan susulan yang perlu diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian ditemui pemberita pada program Mini Akademi Asas Penerangan (ASAS) di Pejabat Penerangan Daerah Batang Padang dekat sini, pada Khamis.

Ketika ditanya sama ada usaha ini khusus untuk PRK DUN Ayer Kuning sahaja atau akan diteruskan selepas itu, Fahmi menegaskan ia merupakan langkah berterusan.

Kata beliau, Kementerian Komunikasi dan MCMC mengambil pendekatan proaktif dengan tidak hanya bergantung kepada aduan orang ramai semata-mata.

Beliau berkata, sebaliknya MCMC diminta untuk meneliti isu capaian internet secara menyeluruh berdasarkan data daripada pelbagai sumber seperti Ookla yang menjalankan ujian kelajuan internet.

“Mereka sedang melakukan ujian terhadap capaian internet. Dalam masa terdekat, kita akan mengeluarkan arahan secara menyeluruh kepada semua syarikat telekomunikasi.

“Mereka perlu memperbaiki capaian internet di lokasi-lokasi yang telah disenaraikan, bukan hanya berdasarkan aduan umum tetapi juga berpandukan data yang kami terima,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Penamaan calon PRK DUN Ayer Kuning di Dewan Merdeka – SPR

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI