TAPAH – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) menzahirkan rasa teruja menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pagi ini.
S Puspanathan, 43, hadir di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Kuning berkerusi roda ditemani isterinya, M Vikkeneswari, 40.
Bekas jurutera perisian itu berkata, dia kehilangan kaki kiri akibat jangkitan virus selepas mengalami masalah kesihatan tahun lalu tetap bersemangat untuk menunaikan haknya sebagai pengundi.
“Saya seorang rakyat yang bertanggungjawab, dan sebab itulah saya memilih untuk melaksanakan tanggungjawab saya sebagai warganegara Malaysia,” katanya yang sudah masuk kali kelima mengundi.
Dia berkata demikian ketika ditemui di hadapan Pusat Mengundi SK Ayer Kuning di sini pada Sabtu.
Proses pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning hari ini berlangsung di 19 pusat mengundi melibatkan 63 saluran, dan dijadualkan berakhir pada jam 6 petang.
Pertandingan kali ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir; calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek, dan calon Parti Sosialis Malaysia Bawani KS. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Calon PN tiba di pusat mengundi jam 8.20 pagi