TAPAH – Berbaki dua hari sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, pengundi luar menyatakan hasrat untuk pulang mengundi 26 April ini.
Tinjauan Malaysia Gazette (MG) Perak sekitar DUN Ayer Kuning mendapati ramai ibu bapa menyatakan bahawa anak-anak mereka yang berada di perantauan telah membuat perancangan untuk pulang mengundi.
Nor Asmah Ghazali, 57, dari Taman Diawan berkata, anak perempuannya yang kini menetap di Meru, Klang telah memaklumkan kepadanya bahawa dia akan pulang ke kampung bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Dia beritahu saya akan balik kampung, lagipun tak jauh dan dia memang nak jumpa saya. Alhamdulillah, ini kali ketiga dia mengundi, dan setiap kali pilihan raya memang dia akan balik.
“Saya sendiri baru kali keempat mengundi di sini. Sebelum ini saya mengundi di kampung dekat Parit dan sebelum itu di Johor sebab suami bertugas sebagai askar,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette di Air Kuning, hari ini.
Bagi Sharifah Md Zain, 63, dari Air Kuning, tiga daripada empat anaknya kini tinggal di luar kawasan namun tetap berhasrat untuk pulang bagi membuang undi.
“Anak-anak saya yang di Manjung dan Bukit Beruntung ada cakap nak balik. Mereka nak pilih pemimpin yang akan jaga kawasan ini,” ujarnya ringkas.
Sementara itu, Mujahid Ali Tadaulah, 71, dari Temoh Stesen turut memaklumkan bahawa dua anak lelakinya juga sudah menyatakan hasrat untuk pulang mengundi pada PRK kali ini.
“Dua anak lelaki saya akan balik. Bagi saya, undi ini satu tanggungjawab. Kalau mereka tak undi, kawasan kita akan rugi,” katanya.
Penduduk Sungai Kroh, Azizan Mohd Isa, 55, pula berkata, kedua-dua anak lelakinya yang merupakan pengundi muda tidak akan melepaskan peluang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Ustaz Yusri terima respon positif dari pengundi muda