PRK Ayer Kuning: Pengundi perlu bijak pilih calon kerajaan

IPOH – Walaupun keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning tidak memberi kesan kepada pentadbiran negeri, namun pengundi disaran membuat keputusan bijak dalam memilih calon daripada parti kerajaan nanti.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ini kerana hanya calon parti kerajaan dapat meneruskan legasi pembangunan kawasan yang ditinggalkan penyandang terdahulu.

Katanya, penyandang kerusi DUN Ayer Kuning telah memberikan khidmat baik sejak diwakili Allahyarham Datuk Azman Mahalan pada tahun 1986 hingga 2004, Datuk Samsudin Abu Hassan (2004 hingga 2022) serta Allahyarham Ishsam Shahruddin (2022 hingga 2025).

“Pembangunan fizikal dan keperluan penduduk setempat di DUN Ayer Kuning telah disempurnakan, akan tetapi kita sentiasa akan tambah baik.

“Oleh itu, perlu untuk kita memenangkan calon daripada parti kerajaan bagi meneruskan kerja-kerja pembangunan di kawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Perak Tahun 2025, di Laman Seri Ridzuan, dekat sini, pada Sabtu.

Hadir sama, isteri yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (BAIDURI), Datin Seri Aezer Zubin serta Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed.

Mengulas lanjut, Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata, wakil daripada parti yang selari dengan kerajaan juga akan membantu melancarkan sebarang urusan kebajikan serta pembangunan setempat, berbanding pembangkang.

“PRK tidak sama dengan situasi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu kerana kita tidak tahu siapa yang menjadi kerajaan. Tetapi ketika ini kita sudah tahu parti mana yang menjadi kerajaan di negeri.

“Oleh itu sangat pelik jika ada yang memilih calon pembangkang. Jadi, tidak kira pengundi baru atau pengundi lama, mereka harus lebih bijak dalam menentukan wakil rakyat di DUN nanti,” katanya lagi.

Pada Jumaat media melaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April depan, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandang, Ishsam, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Pada PRU15, Ishsam mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon Pakatan Harapan (PH) (6,875), Perikatan Nasional (PN) (6,812), Parti Pejuang Tanah Air (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586). – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI