PRK Ayer Kuning: Pengundi Putih BN di luar sudi pulang mengundi

TAPAH – Pengundi kategori putih bagi Barisan Nasional (BN) yang menetap di luar kawasan menyatakan kesudian mereka untuk pulang menyokong calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir, bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning, 26 April ini.

Timbalan Pengerusi BN Tapah, Datuk Seri M. Saravanan berkata, perkara itu disuarakan sendiri golongan berkenaan kepada jenteranya dalam proses mengenal pasti pengundi yang menyokong BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Kita sudah mengenal pasti pengundi-pengundi putih dan sebahagian besar mereka rela datang walaupun sebelum ini saya risau mereka baharu sahaja balik kampung masa hari raya.

“Mereka menyatakan hasrat untuk pulang mengundi kerana mereka tidak mahu melihat kegagalan atau kecuaian mereka mungkin beri peluang pada orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Kejohanan Bola Sepak Grassroots U8, U10, U12 Piala Datuk Seri M Saravanan di Stadium Tun Ahmad Sarji di sini, pada Sabtu.

Hadir sama calon BN Mohamad Yusri atau lebih mesra dikenali sebagai Dr Ustaz Yusri Bakir.

Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah berkata, BN optimis meraih kemenangan dengan majoriti selesa pada pilihan raya kali ini selepas berkempen secara aktif pada pusingan pertama sejak hari penamaan calon 12 April lalu.

“Kita yakin dengan kekuatan yang sedia ada di bawah kepimpinan BN dan juga dengan sokongan daripada parti-parti Perpaduan serta jentera-jentera daripada luar dengan projek anak angkat semua PDM calon BN akan tetap menang dengan satu majoriti yang amat memuaskan,” katanya.

Terdahulu Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan mengumumkan BN akan menyantuni lebih ramai pengundi kelabu terutamanya golongan muda bagi memastikan kemenangan calonnya Ustaz Yusri pada PRK kali ini.

Beliau berkata, ia bertujuan untuk memberi penerangan kepada golongan berkenaan supaya tidak terpengaruh dengan isu yang dimainkan pembangkang.

PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 59, pada 22 Februari lepas akibat serangan jantung.

Pertandingan tiga penjuru itu menyaksikan pertembungan antara Dr Ustaz Yusri Bakir mewakili BN, Abd Muhaimin Malek dari PN dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (PSM). -MG Perak

Artikel Berkaitan:

MGPerak: BN Beri Tumpuan Santuni Pengundi Kelabu – Mohamad

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI