TAPAH – Penyokong dan jentera parti Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH) mula hadir memenuhi kawasan Arena TN50 Tapah sempena proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, pada Sabtu.
Turut kelihatan beberapa kepimpinan daripada kedua-dua parti yang hadir memberi sokongan kepada calon BN selaku wakil Kerajaan Perpaduan.
Antara yang hadir setakat jam 8 pagi adalah Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat, Datuk Seri Ahmad Maslan; Pengarah Pilihan Raya DAP Pusat, Wong Kah Woh; Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang; serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah.
Laluan utama di Jalan Raja yang terletak kira-kira 200 meter dari pusat penamaan di Dewan Merdeka telah ditutup seawal tengah malam tadi.
Laluan yang turut ditutup ialah Jalan Kelab dan Jalan Stesen.
Proses penamaan calon dijadualkan bermula jam 9 pagi ini dengan mereka yang berhasrat untuk bertanding mempunyai masa sejam untuk mengemukakan borang pencalonan diikuti pengumuman nama individu bertanding pada PRK berkenaan.
PRK DUN Ayer Kuning dijangka menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN) serta Parti Sosialis Malaysia (PSM).
BN menamakan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir, 54, sebagai calon bagi mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning.
Bekas Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh itu dijangka menentang bakal calon Perikatan Nasional (PN), Ustaz Abdul Muhaimin Malek, 44, yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Tapah.
Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40, pula dipilih sebagai calon mewakili parti tersebut pada pilihan raya kecil kali ini.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu. – MG Perak
Artikel Berkaitan: