TAPAH – Polis Perak menerima tujuh laporan berkaitan pelanggaran undang-undang sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning setakat ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, lima daripadanya diklasifikasikan sebagai ‘No Offense Disclosed’ (NOD) iaitu tiada kesalahan dikenal pasti atau tiada kesalahan dikesan.
Katanya, sementara dua lagi laporan polis yang diterima sedang disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.
“Dua laporan itu melibatkan kesalahan menconteng poster dengan perkataan jelek dan mencabut bendera parti pilihan raya.
“Laporan dibuat oleh dua wakil parti pada lewat petang dan malam Isnin. Namun setakat ini, tiada sebarang tangkapan dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau perjalanan undi awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di di Dewan Rekreasi Pegawai Kanan, Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor pada Selasa.
Noor Hisam berkata, dua laporan berkaitan kes khianat itu dilaporkan berlaku di sekitar Tapah Road.
Dalam perkembangan sama, Noor Hisham berkata, seramai 500 anggota dan pegawai polis menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai pengundi awal di dua pusat mengundi.
Kata beliau, 476 orang telah membuang undi di Batalion 3 PGA Bidor sementara 24 orang di Dewan Anggerik Kompleks Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah.
Menurut beliau lagi, dua anggota masing-masing di dua pusat mengundi itu tidak dapat mengundi kerana dilaporkan telah meninggal dunia.
Mengulas tentang perjalanan PRK DUN Ayer Kuning, Noor Hisham berkata, pihak polis berharap suasana kempen berjalan dengan lancar sehingga tiba hari pengundian.
“Kita harap semua pihak kekalkan suasana aman sehingga tamat tempoh berkempen tengah malam Jumaat ini,” jelas beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan: