TAPAH – Sentimen Melayu-DAP tidak akan menjejaskan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning memandangkan rakyat Perak tidak asing dengan pemimpin Melayu di dalam parti berkenaan, kata Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan.
Justeru, beliau berkata, calon Kerajaan Perpaduan yang mewakili Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir tidak akan berdepan masalah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sekiranya isu berkenaan dimainkan pihak lawan.
“Di Perak terdapat wakil rakyat mewakili DAP dalam kalangan Melayu, antaranya Naib Pengerusi DAP Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari.
“Jadi warga Perak sebenarnya tidak asing dengan DAP Melayu. Kita dah lama bersama mereka.
“Cuma mungkin perlu lebih dekat lagi dengan rakyat supaya mereka yakin dengan perjuangan kita,” katanya ketika ditemui berkempen di Kampung Pasir Temoh di sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Penolong Setiausaha Publisiti DAP yang juga Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman dan Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali.
Dalam pada itu, beliau berkata, sentimen Melayu-DAP yang sering dimomokkan kepada orang Melayu antara sebab wujud jurang kepercayaan terhadap DAP.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa kehadiran pemimpin-pemimpin Melayu dalam DAP serta rekod perkhidmatan mereka di kawasan masing-masing membuktikan sebaliknya.
“Saya selalu ditanya tentang perkara ini. Tapi saya fikir kalau betul-betul nak lihat bagaimana orang Melayu dalam DAP bekerja, datanglah ke Bangi, ke Bentong, ke Johor. Tengok sendiri kerja kami.
“Kebanyakan persepsi ini timbul kerana mereka tidak mengenali pemimpin-pemimpin Melayu DAP. Jadi orang kata, ‘tak kenal maka tak cinta’,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: