TAPAH – MCA yakin sokongan penyokong komponen parti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dapat terus diwujudkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning nanti.
Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, perkara itu sudah pasti dapat direalisasikan yang akhirnya memberi kemenangan kepada BN dalam mempertahankan kerusi DUN berkenaan.
Katanya, beliau yakin parti-parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan sudah cukup matang dalam bekerjasama bagi memastikan kemenangan parti itu pada PRK kelak.
“Walaupun saya berharap kita dapat memperoleh kemenangan dengan majoriti besar, tetapi kita tidak boleh ambil sambil lewa.
“Kita harus kerja keras untuk menunjukkan kekuatan BN, dan sekiranya sokongan daripada penyokong parti-parti komponen PH berpihak kepada kita, ia adalah satu bonus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Mesyuarat Jawatankuasa BN Tapah di Bangunan UMNO Tapah, pada Isnin.
Hadir sama, Ahli Parlimen Tapah yang juga Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan, serta Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tapah, Khairul Azmi Ghazali.
Beliau terdahulu ditanya pembariya sama ada MCA akan turun berkempen bersama DAP dalam PRK DUN Ayer Kuning.
Untuk rekod, pengundi Cina merupakan kelompok kedua terbesar yang mengundi di DUN Ayer Kuning selepas pengundi Melayu.
Mengulas lanjut Hang Soon berkata, pihaknya bersedia untuk menggerakkan jentera parti dalam membantu calon BN yang akan diputuskan pimpinan tertinggi nanti.
“Kita yakin pimpinan pusat akan mengetengahkan calon merangkumi kriteria WALI iaitu ‘winnable’ (boleh menang), ‘acceptable’ (diterima) dan ‘likeable’ (disukai),” katanya.
Kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning berlaku susulan kematian penyandang, Ishsam Shahruddin, 59 tahun, selepas menyertai perlawanan bola sepak di Pulau Pinang, akibat serangan jantung, pada 22 Februari lalu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Ishsam yang mewakili BN memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 undi.
Beliau menewaskan empat calon lain masing-masing dari PH, Perikatan Nasional, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Gerakan Tanah Air.
PRK perlu diadakan memandangkan penggal DUN ke-15 Perak belum mencapai tempoh mandat tiga tahun. – MG Perak
Artikel Berkaitan: