TAPAH – Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sibuk melakukan persiapan bagi proses pengundian awal sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, di Dewan Merdeka, di sini, pagi ini.
Tinjauan Malaysia Gazette mendapati persiapan proses pengundian awal yang akan berlangsung esok di dua pusat mengundi itu bermula sejak jam 8 pagi.
Penolong Pegawai Pengurus (Undi Awal) PRK N48 DUN Ayer Kuning, Mohammad Shahir Mohammad berkata, persiapan berkenaan merupakan proses semakan peti undi awal dan ia berjalan lancar memandangkan melibatkan hanya tiga saluran sahaja.
“Kalau ikutkan undi awal pihak SPR sudah tetapkan di dua lokasi iaitu Dewan Anggerik, Kompleks Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah dan Dewan Rekreasi APR Transit, Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor.
“Setakat hari ini telah berlangsung satu semakan peti undi awal dan proses berjalan lancar memandangkan ia hanya melibatkan tiga saluran sahaja,” katanya ketika ditemui di Dewan Merdeka di sini, pada Isnin.
SPR sebelum ini mengumumkan seramai 582 pengundi membabitkan pegawai dan anggota polis serta pasangan akan menunaikan tanggungjawab mereka mengundi awal pada 22 April.
Tiga saluran dibuka melibatkan dua pusat mengundi iaitu di Dewan Anggerik, Kompleks Perumahan IPD Tapah dan Dewan Rekreasi APR Transit, Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor. -MG Perak
Artikel Berkenaan:
Penamaan calon PRK DUN Ayer Kuning di Dewan Merdeka – SPR