TAPAH – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning, Abd Muhaimin Malek tekad untuk membawa suara pengundi ke peringkat lebih tinggi sekiranya diberi mandat pada 26 April nanti.
Abd Muhaimin atau lebih dikenali sebagai Ustaz Muhaimin berkata, beliau berjanji untuk tidak mewakili satu kelompok sahaja, sebaliknya menjadi wakil rakyat kepada masyarakat berbilang bangsa dan agama di Ayer Kuning.
“Saya akan mewakili orang Melayu, Cina, India dan seluruh agama yang ada di dalam DUN ini.
“Saya bukan calon hanya untuk orang Melayu sahaja, sebaliknya saya juga calon untuk kita semua, sama ada Orang Melayu mahupun bukan Melayu, yang Muslim dan bukan Muslim.
“(Sekiranya menang pada PRK ini) saya akan mengotakan segala toleransi dalam agama yang meraikan kepelbagaian yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Ceramah Mega PN bersempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Kampung Tanjung Keramat, dekat sini, pada Sabtu.
Hadir sama ke majlis, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa; Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta Ketua Pembangkang DUN Perak, Razman Zakaria.
Menurut Abd Muhaimin, beliau bersedia untuk membawa segala isu yang membelenggu dan permasalahan penduduk setempat kepada pihak berwajib sekiranya menjadi wakil rakyat di DUN berkenaan.
“Pelbagai isu yang sedang dan telah yang diluahkan oleh rakyat akan kita cuba selesaikan dengan kemampuan yang ada, jika kita diberikan kemenangan nanti,” kata beliau lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini, manakala pengundian awal dijadual berlangsung pada 22 April.
PRK Ayer Kuning menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Dr Mohamad Yusri Bakir mewakili Barisan Nasional (BN), Abd Muhaimin daripada PN, serta Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (PSM). – MG Perak