TAPAH – Calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir telah mengisytiharkan harta dan ia dilakukan sebelum menyertai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Mohamad Yusri atau mesra dikenali sebagai Ustaz Yusri berkata, pengisytiharan harta itu dibuat kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai sebahagian daripada prosedur persaraan awal pada April lalu.
Katanya, ketetapan tersebut bertujuan memastikan penjawat awam yang ingin bersara bebas daripada sebarang tindakan tatatertib serta melepasi tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Semasa hendak bersara, saya perlu isytihar harta kerana ia prosedur wajib ketika menghantar semua dokumen berkaitan.
“Ia merupakan proses untuk kita bersara (sebagai penjawat awam), dan saya telah memilih untuk bersara awal. Ia adalah proses yang tetapkan oleh JPA,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi kempen rumah ke rumah bersempena PRK DUN Ayer Kuning di Tapah Road, dekat sini, pada Isnin.
Pada Ahad media melaporkan calon PSM bagi PRK DUN Ayer Kuning, Bawani KS mengisytihar harta beliau sempena PRK tersebut di pekarangan pasar pagi bersebelahan Masjid Jamek Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Susulan itu Pengerusi PSM Perak itu mencabar dua calon lain PRK tersebut berbuat tindakan sama iaitu Ustaz Yusri dari BN dan Abd Muhaimin Malek (Perikatan Nasional – PN).
Ustaz Yusri bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai strategi kempen parti lawan, sebaliknya memilih untuk memberi tumpuan penuh kepada gerak kerja bersama jentera partinya sendiri.
Tambah beliau, perkara atau isu sedemikian tidak sepatutnya timbul kerana beliau telah melakukan pengisytiharan harta kepada kerajaan.
“Saya telah mengisytiharkan kepada pihak yang berwajib dan ia boleh disemak melalui sistem kerajaan. Oleh itu, saya berpandangan tidak timbul sebarang isu berkenaan hal ini,” jelasnya.
Pada 10 April media melaporkan, Ustaz Yusri sudah meletakkan jawatannya sebagai pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh.
Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di institusi berkenaan telah menghantar surat peletakan jawatannya pada awal April.
DUN Ayer Kuning mempunyai 31,897 pengundi berdaftar terdiri daripada 31,315 pemilih biasa dan 582 anggota polis dan pasangan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 26 April, dengan hari pengundian awal pada 22 April. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PRK Ayer Kuning: Ustaz Yusri garis 7 tawaran dalam manifesto