TAPAH – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yakin pemilihan Dr Mohamad Yusri Bakir sebagai calon parti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, beliau juga yakin Setiausaha UMNO Bahagian Tapah itu akan mampu membawa kemenangan kepada BN pada hari pengundian April ini.
Kata beliau, keyakinan itu disandarkan memandangkan Mohamad Yusri memiliki latar belakang agama dan akademik yang baik.
“Beliau seorang calon dengan latar belakang agama dan mempunyai kelulusan akademik yang sangat baik. InsyaAllah ini menjadi kelebihan kepada kita.
“Tambahan pula, saya dimaklumkan bahawa isteri beliau mempunyai keturunan Masyarakat Cina jadi ia juga beri kelebihan untuk kita mendekati pengundi pelbagai kaum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN PRK DUN Ayer Kuning, di Dewan Serbaguna Kampung Tersusun Haji Tahir, Temoh di sini, pada Isnin.
Pada majlis Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan Mohamad Yusri sebagai calon yang akan mewakili parti itu pada PRK DUN Ayer Kuning.
Mengulas mengenai demografi pengundi, Ahmad Zahid berkata, dianggarkan 46 peratus daripada keseluruhan pengundi di DUN Ayer Kuning adalah golongan muda, termasuk mereka yang bakal mengundi buat kali pertama.
Justeru beliau berkata, Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian akan dikerahkan bagi merancang pelbagai strategi untuk terus mendekati golongan pengundi tersebut.
“Saya telah mengarahkan Wanita, Pemuda dan Puteri agar berganding bahu menjalankan program khas bagi mendekati pengundi muda.
“Sayap Pemuda dan Puteri khususnya, InsyaAllah akan ada pendekatan serta program tersendiri bagi menarik kumpulan pengundi tersebut,” jelas beliau lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: