PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Perak pada 26 April depan.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas di Menara SPR hari ini di bagi membincangkan tarikh penting berkaitan PRK Ayer Kuning.
Kerusi DUN Ayer Kuning kosong susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, pada 22 Februari lalu.
Ia sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara XXXVI (5), Bahagian Pertama, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, kekosongan luar jangka berkenaan hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan oleh SPR kekosongan berkenaan berlaku.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada PRU15, Ishsam mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 2,213 undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).
Kerusi DUN Ayer Kuning menjadi kubu kuat BN sejak lapan penggal lalu. -Malaysia Gazette