PRK KKB: Ahli UMNO duduk diam-diam, jangan boikot, sabotaj calon

IPOH – Ahli-ahli UMNO dinasihatkan supaya tidak memboikot atau mensabotaj calon DAP yang dipilih Kerajaan Perpaduan untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, sebaliknya, mereka hanya perlu mengambil pendekatan berdiam diri kerana tindakan sedemikian tidak akan membawa faedah kepada parti.

“Nasihat saya tak usahlah (sabotaj), kalau tak nak sokong duduk diam-diam. Jangan sabotaj. Apa faedahnya (kepada) kita?

“Cuma buat sesuatu yang berfaedah, kalau tak berfaedah nak buat apa. Seperti pepatah Melayu, jangan ikut hati, mati…Jangan ikutkan rasa, binasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Taj International College @ Ipoh, pada Jumaat.

Sebelum ini, media melaporkan, hasil kajian bersemuka yang dijalankan oleh pengkaji, mendapati segelintir pengundi Kuala Kubu Bharu bertekad tidak akan keluar mengundi sebagai tanda protes.

Sehubungan itu, timbul persoalan sejauh mana ceramah dan komunikasi kempen pemimpin UMNO yang memberikan penjelasan dan membujuk agar penyokong Barisan Nasional (BN), terutama UMNO mengundi calon DAP atas tiket Kerajaan Perpaduan, diterima pengundi

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Kuala Kubu Baharu adalah pada 11 Mei ini susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong dari DAP yang mewakili Pakatan Harapan (PH) pada 21 Mac lalu.

Pakatan Harapan meletakkan Pang Sock Tao dari DAP yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan.

PRK itu bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Sock Tao dengan pemangku Ketua Bahagian BERSATU Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut mewakili Perikatan Nasional (PN); selain  Parti Rakyat Malaysia (PRM) diwakili Hafizah Zainuddin dan calon Bebas, Nyau Ke Xin.– MG Perak

Artikel Berkaitan:

Empat penjuru di DUN Kuala Kubu Bharu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI