IPOH – Ibu bapa perlu memberi komitmen dalam program-program kerajaan negeri seperti program Gadis Hebat bertujuan untuk menangani isu sosial melibatkan remaja yang semakin meruncing sejak kebelakangan ini.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, ibu bapa perlu memantau pergerakan anak-anak dari semasa ke semasa supaya mereka tidak terjerumus dalam masalah sosial yang serius.
Menurutnya, program anjuran Sekretariat Pembangunan Wanita dan Komuniti Perak (Wanita Perak) yang diperkenalkan pada tahun lalu itu adalah salah satu pendekatan bagi mengenal pasti alternatif terbaik bagi mengurangkan kes berkaitan masalah kesihatan mental melibatkan remaja.
Di samping itu, beliau memaklumkan menerusi program Gadis Hebat ini sekurang-kurangnya terdapat sedikit yang ilmu dipasak ke dalam diri remaja dan membantu mereka untuk membuat keputusan lebih rasional sama ada ke jalan negatif atau positif.
“Ibu bapa perlu ambil tahu, cakna tentang anak-anak. Walaupun sesibuk mana pun kita (ibu bapa) perlu tahu apa yang anak-anak kita lalui dan apa yang mereka sedang buat.
“Ini supaya mereka (anak-anak) tidak terjerumus ke dalam masalah sosial yang serius sehingga melibatkan kes kematian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Gadis Hebat Negeri Perak 2025 di Kolej Poly-Tech Mara, di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah Sekretariat Wanita Perak, Jamilah Zakaria dan Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perak, Mohamad Faizal Haramaini.
Dalam pada itu, Salbiah berkata, pihaknya juga mendapat input daripada pihak polis berhubung isu remaja perempuan yang dilaporkan hilang sejak kebelakangan ini.
Katanya, ada dalam kalangan remaja terbabit yang telah ditemui dan ada yang masih dalam kes pencarian.
“Di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kita ada Unit Kaunselor yang akan memberi khidmat nasihat kepada remaja terlibat dalam masalah berkenaan,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kehamilan remaja, perkahwinan bawah umur membimbangkan – Nancy