GOPENG – Seramai 200 peserta eKasih terpilih menerima baucar bernilai RM400 menerusi Program Jom Raya di bawah inisiatif Sejahtera MADANI yang diadakan bagi membantu golongan memerlukan membuat persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Pembangunan Negeri Perak, Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Perak, Pejabat Daerah dan Tanah Kampar serta Bank Muamalat Malaysia Berhad.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, program berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif Sejahtera MADANI yang memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat khususnya golongan B40.
Menurutnya, usaha itu juga membuktikan kebajikan rakyat kekal menjadi teras pentadbiran Kerajaan MADANI yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sempena perayaan ini kerajaan akan pastikan hasil ekonomi dapat dikongsi dan diagihkan dengan lebih baik khususnya kepada golongan B40.
“Ini juga satu pendekatan yang baru di mana melalui inisiatif Sejahtera Madani, selain daripada program kebajikan dan sumbangan bantuan banyak kerjasama terjalin dengan sektor swasta untuk intervensi melalui cara untuk kita meningkatkan pendapatan golongan B40 dan peserta eKasih.
“Pada masa sama, ia juga untuk memperkasakan pendidikan supaya untuk jangka masa panjang ada peluang untuk mereka mengubah nasib,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan bantuan tersebut pada Program Jom Raya di bawah inisiatif Sejahtera MADANI di pentas terbuka Agromall Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak di sini pada Sabtu.
Sandrea berkata, baucar Pasar Raya Mydin bernilai RM400 yang diberikan membolehkan penerima membeli barangan keperluan seperti baju raya, kuih raya, daging, ayam serta keperluan lain bagi membuat persiapan yang baik untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sama-sama menjayakan usaha ini. Semoga lebih banyak program di bawah inisiatif Sejahtera Madani akan dilaksanakan dari masa ke masa untuk kita sama-sama membela nasib rakyat,” ujarnya.
Katanya, bantuan bersasar, sokongan kos sara hidup serta pelbagai inisiatif kebajikan terus dilaksanakan bagi memastikan hasil pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati oleh rakyat. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
100 anak B40 DUN Ayer Kuning gembira terima baucar beli baju raya


