IPOH – Penganjuran Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 di Perak yang melabuhkan tirai pada Ahad merekodkan jumlah kehadiran seramai 303,222 orang pengunjung
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, program yang bertemakan ‘Bandar Lestari, Rumah Berkualiti, Komuniti Harmoni’ itu mencatatkan pencapaian memberangsangkan semenjak mula dianjurkan sejak dua tahun lalu.
“PMR 2026 Perak yang berlangsung selama tiga hari telah berjaya dilaksanakan dengan baik dan bermanfaat kepada rakyat.
“Lebih membanggakan, jumlah sambutan yang diterima amat memberangsangkan dengan kehadiran pengunjung mencecah kira-kira 303,222 orang keseluruhannya.
“Ini merupakan rekod paling tinggi sepanjang penganjuran program sejak tahun 2024,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup PMR 2026 Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, di sini, pada Sabtu.
Menurut beliau, penganjuran program selama tiga hari sejak Jumaat itu bukan sekadar himpunan acara fizikal, malah ia adalah wacana dan wahana perpaduan yang menzahirkan kebersamaan hakiki antara kerajaan, agensi, serta rakyat.
Kor Ming berkata, ia merupakan manifestasi bahawa setiap gerak kerja kerajaan bukan sahaja membina landskap fizikal, bahkan sedang memugar sebuah ekosistem kehidupan yang jauh lebih sejahtera, inklusif, dan berdaya tahan.
“Apa yang telah kita saksikan sepanjang penganjuran program ini adalah satu petunjuk bahawa pembangunan sesebuah bangsa tidak sekali-kali wajar diukur menerusi deretan angka statistik mahupun binaan konkrit semata-mata.
“Sebaliknya, ia merupakan sebuah naratif tentang masa hadapan, sebuah naskah yang menuntut keberanian, keazaman, dan anjakan paradigma demi kelangsungan sebuah negara yang sejahtera,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, ‘Bandar Lestari’ bukan sekadar laungan slogan, sebaliknya ia adalah tekad ekologi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam membina persekitaran yang hijau, mesra, dan mampan.
Kor Ming berkata, oleh sebab itu KPKT menyasarkan pembinaan 1,000 Taman MADANI dalam tempoh 10 tahun di seluruh negara dan setakat ini, sebanyak 36 buah Taman MADANI berjaya diwujudkan di seluruh Perak.
“Rumah Berkualiti pula menjadi perlambangan keadilan sosial, sebuah jaminan bahawa setiap keluarga di negara ini berhak bernaung di bawah bumbung yang moden, selesa dan mampu milik.
“Manakala komuniti harmoni menjadi paksi pembentukan sebuah tamadun kemanusiaan yang inklusif, saling menghormati, dan bersatu padu,” katanya.
Terdahulu pada majlis, Kor Ming turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang bagi Pertandingan Fotografi dan Videografi PMR 2026, serta cabutan hadiah bertuah termasuk hadiah utama berupa kereta jenis Perodua Axia. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


