KUALA KANGSAR – Penganjuran Program Remaja Hebat Negeri Perak menepati aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030 dalam mensejahterakan sosial, pendidikan serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, ini kerana modul yang dilaksanakan meliputi pelbagai aspek termasuk kempimpinan serta peluang kerjaya dan pengajian kepada peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah dan tingkatan enam rendah.
Menurut Khairudin, pada masa sama program tersebut turut dijadikan sebagai salah satu kaedah pengkaderan atau transisi peralihan kepimpinan bagi golongan belia yang bakal menerajui pertubuhan-pertubuhan belia.
“Ia seperti di dalam Akta 686 yang menguatkuasakan kepimpinan pertubuhan belia mesti berumur 30 tahun ke bawah dan sudah pastilah dengan adanya Program Remaja Hebat ini para peserta boleh memperoleh pelbagai maklumat.
“Selain itu juga melalui tujuh modul yang disediakan para peserta turut didedahkan dengan perkara berkaitan kehidupan mereka seperti buli, TVET serta peluang pengajian dan kerjaya yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir ke Majlis Perasmian Penutup Program Remaja Hebat Negeri Perak Zon Tengah Tahun 2025 di Pusat Latihan Kenegaraan Ulu Kenas, di sini, pada Ahad.
Hadir sama Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak), Jamilah Zakaria.
Mengulas lanjut Khairudin berkata, Program Remaja Hebat Negeri Perak merupakan kolaborasi di antara Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi bersama Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan.
Katanya, sebanyak empat siri program tersebut telah dan akan dilaksanakan di peringkat zon utara, selatan, timur dan tengah sebelum dianjurkan program peringkat negeri.
“Program Remaja Hebat Negeri Perak yang bermula 3 hingga 5 Oktober ini merupakan siri yang pertama bagi zon tengah dan Insya-Allah ada lagi tiga siri yang akan dilaksanakan bagi zon utara, timur dan selatan.
“Selesai saja keempat-empat siri mengikut zon ini, akan diadakan pula Program Remaja Hebat Negeri Perak ini secara mega yang mengumpulkan seberapa ramai remaja-remaja untuk menyertainya,” katanya. -MG Perak