Program tahfiz penjara Perak bantu prospek dalami al-Quran, bentuk sahsiah baharu

BATU GAJAH – Penubuhan pusat tahfiz di institusi penjara di Perak dilihat sebagai antara pendekatan pemulihan berkesan dalam membantu prospek mendalami al-Quran, sekali gus membentuk perubahan sahsiah yang lebih baik.

Pengarah Penjara Perak Timbalan Komisioner Penjara Fayrouz Ahmad Zawawi berkata inisiatif itu antara program pemulihan yang digerakkan Jabatan Penjara Malaysia bagi memberi peluang kepada prospek menimba ilmu agama sepanjang tempoh menjalani hukuman.

Beliau berkata terdapat dua pusat tahfiz yang beroperasi di negeri itu ketika ini, iaitu di Pusat Koreksional Batu Gajah melalui Akademi Azzahrah dan satu lagi di Penjara Tapah.

“Akademi Azzahrah mula beroperasi pada 2024 dan ketika ini sebanyak enam prospek mengikuti program tahfiz di pusat berkenaan.

“Program ini adalah sebahagian daripada usaha pemulihan yang dirangka oleh Jabatan Penjara Malaysia untuk mewujudkan sekolah tahfiz di setiap negeri,” katanya selepas Program Penerapan Nilai-Nilai Murni Peringkat Penjara Negeri Perak di Surau Diri Jumaat Pusat Koreksional Batu Gajah di sini semalam.

Fayrouz berkata penyertaan prospek dalam program tahfiz itu adalah secara sukarela dan melibatkan mereka yang benar-benar berminat untuk mendalami al-Quran.

“Walaupun ada dalam kalangan prospek tidak mempunyai latar belakang pendidikan agama atau kebolehan membaca al-Quran, mereka dibimbing secara berterusan oleh guru agama daripada Jabatan Penjara serta pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

“Alhamdulillah kami dapat lihat perubahan positif dari segi disiplin dan sikap mereka sepanjang mengikuti program ini, malah kami akan terus mengenal pasti prospek yang berpotensi untuk diketengahkan bagi mengikuti program tahfiz pada masa depan,” katanya.

Fayrouz berkata setakat ini pencapaian hafazan dalam kalangan prospek menunjukkan seorang berjaya menghafaz enam juzuk sebelum dibebaskan manakala seorang lagi mencapai empat juzuk, tiga juzuk (seorang), dua juzuk (dua), satu juzuk (seorang) dan dua lagi pada tahap Juzuk Amma.

“Kesemua pelajar tahfiz termasuk yang telah dibebaskan dijangka menduduki Ujian Syafawi dan Tahriri bagi hafazan juzuk satu hingga lima di bawah Sijil Perakuan Hafazan Bertahap Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada Jun depan.

“Selain program hafazan, prospek yang mengikuti tahfiz turut terlibat dalam pelbagai aktiviti keagamaan termasuk tadarus al-Quran malah prospek tahfiz juga diberi kepercayaan menjadi imam bagi solat sunat Tarawih melibatkan prospek wanita setiap Khamis sepanjang bulan Ramadan,” katanya.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI