Projek pemindahan air Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah akan dibawa ke Kabinet

MANJUNG – Projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah akan dibentangkan di peringkat Kabinet pada Ogos ini dalam usaha bagi menangani masalah kekeringan yang berlaku setiap kali cuaca panas melanda.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad turut berhasrat supaya pandangan kerajaan negeri diambil kira sebelum perkara itu dibentangkan dan diluluskan oleh Kabinet.

Menurutnya, perbincangan terperinci melalui sesi libat urus perlu diadakan bagi memastikan jajaran yang dipilih tidak memberi kesan negatif kepada penduduk setempat seperti banjir atau pemindahan tanah secara besar-besaran.

Tambahnya, jajaran projek perlu ditentukan secara teliti supaya tidak mendatangkan kesusahan kepada rakyat, selain mengelakkan risiko seperti pemindahan penduduk dan pengambilan tanah yang meluas.

“Kita dimaklumkan bahawa Kertas Jemaah Menteri akan dibawa ke mesyuarat Kabinet pada Ogos ini. Justeru, sebelum ia diluluskan, kita minta dibincangkan dahulu dengan kerajaan negeri supaya kami dapat beri pandangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci bagi pembeli Rumah Perakku di Taman Perakku, Batu 14 Lekir, Sitiawan pada Khamis.

Hadir sama, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching.

Sementara itu, mengulas berhubung hasil mesyuarat bersama Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri di Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof semalam, Saarani berkata projek penyaluran air mentah itu wajar dipercepatkan.

“Ini berikutan Empangan Bukit Merah di Kerian kerap mengalami paras air rendah akibat cuaca panas dan kering setiap tahun, yang menjejaskan pengairan tanaman serta menampung keperluan pembangunan industri.

“Kerajaan negeri ingin beri pandangan supaya projek ini memberi manfaat kepada ramai pihak, terutamanya petani di wilayah utara Perak, pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP), dan juga permintaan dari Pulau Pinang,” jelasnya.

Isnin lalu, Saarani dilaporkan berkata, Perak menggesa Kerajaan Persekutuan mempercepatkan pelaksanaan Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah berikutan masalah kekurangan bekalan air di kawasan tersebut ketika cuaca panas. – MG Perak

Artikel Berkata:

Perak gesa Kerajaan Persekutuan segerakan projek pemindahan air

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI