Projek pindah air Bukit Merah RM6.2 bilion libat kontraktor kecil

TELUK INTAN – Kerajaan Negeri Perak akan memberi peluang kepada kontraktor kecil untuk terlibat dalam projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Bukit Merah yang dianggarkan bernilai RM6.2 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia bagi memastikan pelaksanaan projek tersebut mengagihkan limpahan ekonomi secara adil kepada kontraktor serta memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini.

“Kita juga mengambil kira penglibatan subkontraktor kecil kerana bajet asal projek ini berjumlah RM5 bilion, namun saya dimaklumkan ia telah meningkat kepada RM6.2 bilion.

“Justeru, manfaat daripada kenaikan kos ini perlu turut dilimpahkan kepada kontraktor kelas G1 dan subkontraktor,“ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri Keenam Tahun 2025 di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap, di sini pada Isnin.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata, kertas Kabinet berhubung projek berkenaan dijangka akan dibentangkan pada minggu ini.

“Jadi dulu dalam Mesyuarat Exco kita buat keputusan supaya kertas Kabinet itu kena ambil kira permintaan dan ulasan daripada kerajaan negeri sebab pertama air itu adalah hak negeri.

“Bagaimanapun, urusan pelaksanaan projek itu perlu ambil kira kepentingan kepada kontraktor-kontraktor di negeri ini.

“Kita sudah putuskan supaya PETRA (Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air) bersetuju dengan kerjasama antara PKNPk (Perbadanan Kemajuan Negeri Perak) dan Gamuda Bhd (Gamuda) sebagai pelaksana dengan mengambil kira penglibatan kontraktor kecil tempatan,” jelasnya.

Beliau berkata, projek tersebut dapat disegerakan supaya isu masalah pengairan pertanian di sebelah utara dapat diselesaikan serta membantu keperluan air Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di Kerian.

“Kalau ada lebihan baru kita kira nak jual air kepada Pulau Pinang. Jadi tiga dalam satu,” ujarnya.

Sebelum ini media melaporkan Gamuda melalui usaha sama (JV) dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), diberi mandat oleh kerajaan negeri untuk mereka bentuk, membina dan mengendalikan kemudahan rawatan dan pengagihan air terletak di Kerian.

Projek itu akan membekalkan air terawat kepada KIGIP manakala lebihan bekalan akan disalurkan ke Pulau Pinang.

Ia akan dilaksanakan secara penswastaan, di mana perjanjian dijangka dimuktamadkan dalam tempoh 90 hari, dengan tempoh konsesi minimum selama 40 tahun dan dijangka mula beroperasi menjelang tahun 2030. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Projek pemindahan air Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah akan dibawa ke Kabinet

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI