IPOH – Projek menaik taraf fizikal dan kemudahan di Perpustakaan Awam Negeri Perak atau Perpustakaan Digital Negeri siap lebih awal enam hari dengan kos keseluruhan sebanyak RM3.1 juta.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, projek yang bermula pada 16 Julai tahun lalu itu dilaksanakan di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kinta menerusi kontraktor Rinahashim Enterprise.
Katanya, projek berkenaan adalah kesinambungan daripada kerja-kerja menaiktaraf dan pembaikan bumbung di blok utama bangunan perpustakaan pada dua tahun lalu.

“Projek ini pada asal dijadualkan siap pada 24 Mac, namun, hasil kerjasama erat dan dedikasi semua pihak, projek ini berjaya disiapkan lebih awal iaitu pada 18 Mac.
“Antara skop utama kerja-kerja yang telah dilaksanakan merangkumi beberapa perkara antaranya pengubahsuaian dan pembaikan, reka bentuk dalaman baharu yang lebih moden dan menarik.
“Selain itu, ia juga membabitkan kerja-kerja penyediaan perabot terbina dalam dan perabot khas, serta kerja-kerja mekanikal dan elektrikal yang menyokong fungsi bangunan secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Serajan Projek Menaiktaraf Fizikal dan Kemudahan Perkhidmatan Perpustakaan Awam Negeri Perak (Perpustakaan Digital) di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Pengarah JKR Perak, Ir. Farrid Jamaludin; Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri, Rafidah Abdul Aziz; Jurutera Daerah Kinta, Ir. Rijal Nazli Sulaiman serta, wakil kontraktor Rinahashim Enterprise, Huseinal Rashidi Mohamed Isa.
Khairudin berkata, ketika ini pihak perpustakaan sedang giat melaksanakan perolehan perabot longgar atau ‘loose furniture’ sebagai persediaan akhir sebelum pembukaan semula bangunan itu kepada orang awam yang dijangka pada pertengahan tahun ini.

“Kita sedang menunggu proses perolehan perabot mengikut prosedur kewangan negeri sebelum ia dapat dihantar dan dipasang sepenuhnya
“Saya yakin dalam pertengahan tahun ini iaitu sekitar Jun nanti, perpustakaan ini akan mula beroperasi sepenuhnya untuk kegunaan orang ramai,” jelasnya.

Mengulas tentang konsep perpustakaan digital, beliau berkata, fungsi perpustakaan konvensional seperti penyediaan bahan bacaan seperti buku dan majalah masih dikekalkan, namun ia diperkaya dengan elemen digital.
Kata beliau, penambahan elemen digital seperti kemudahan pembelajaran interaktif, permainan video dan konsep ‘fun learning’ dijangka akan menjadi daya penarik terutama kepada lebih ramai golongan muda untuk berkunjung ke perpustakaan negeri.
“Projek menaik taraf fizikal dan kemudahan perpustakaan ini menggunakan sepenuhnya peruntukan daripada Kerajaan Negeri Perak dan ia membuktikan kesungguhan kita menjadikan amalan membaca sebagai agenda utama selaras dengan Pelan Perak Sejahtera 2030.
“Gabungan antara teknologi digital dan bahan bacaan tradisional ini mewujudkan satu ekosistem pembelajaran yang seimbang dan inklusif.
“Justeru, inisiatif ini diyakini akan memberi impak yang besar kepada masyarakat, khususnya dalam memupuk budaya membaca, meningkatkan literasi digital, serta melahirkan masyarakat berilmu dan berdaya saing,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak rancang bangunkan perpustakaan digital


