IPOH – Projek Pembangunan Sempadan Trail Pelancongan di Pengkalan Hulu bakal bermula pada suku pertama tahun ini dan dijangka selesai pada suku ketiga tahun 2026.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) itu melibatkan kerja-kerja menaik taraf tiga komponen iaitu Tasik Takong, Kroh Hotspring dan Bukit Berapit.
Katanya, setelah ia selesai dinaik taraf, kawasan terbabit akan diserahkan semula kepada Majlis Daerah Pengkalan Hulu.
“Kerajaan negeri menjangkakan kerja-kerja naik taraf ini akan menyokong sektor pelancongan di Pengkalan Hulu dan menggalakkan kemasukan pelancong-pelancong dari Thailand.
“Ia akan membuka peluang kepada warga tempatan untuk menjana pendapatan melalui perniagaan di kawasan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Mohamad Amin Roslan (PN-Pengkalan Hulu) pada Mesyuarat Pertama, Tahun Ketiga Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut Saarani (BN-Kota Tampan) berkata, Pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit yang baharu dengan ia dibina lebih hampir dengan pintu sempadan bakal menyelesaikan isu keselamatan.
Jelas beliau, ia meningkatkan tahap keselamatan akses keluar dan masuk sempadan negara, serta secara langsung memberi peluang untuk pembangunan aktiviti ekonomi di kawasan sekitar.
Saarani berkata, kerajaan negeri bersedia untuk menjadi pemudah cara dalam urusan berkaitan permohonan tanah oleh Kementerian Dalam Negeri bagi pembangunan kompleks berkenaan.
“Kerajaan negeri perlu memastikan isu keselamatan sempadan dan kedaulatan negeri diberi keutamaan terlebih dahulu, sebelum merancang pembangunan ekonomi dan komersial di kawasan sekitar kompleks ini.
“Perak akan menyokong dan meneruskan kerjasama dengan pelbagai pihak sama ada agensi kerajaan atau swasta untuk menggalakkan pertumbuhan pelbagai sektor ekonomi di kawasan Pengkalan Hulu.
“Ia sama seperti mana yang dihasratkan dalam beberapa rancangan pemajuan seperti Rancangan Struktur Negeri dan Rancangan Tempatan Daerah, serta Kajian Sempadan Antarabangsa Malaysia-Thailand,” tambah beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan: