IPOH – Projek D’Aman Residensi Meru Raya yang diisytiharkan terbengkalai sebelum ini dijangka akan disambung semula akhir Julai dengan sasaran untuk mendapatkan Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada Disember 2024.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, setakat ini, terdapat lima projek terbengkalai di Perak melibatkan Taman Tapah Permai, Tapah; Taman Cempaka II, Manjung; Taman Seri Emas, Kampar; Taman Limau Mas, Beruas termasuk D’Aman Residensi Meru Raya.
Menurutnya, kesemua projek terbengkalai itu kini di bawah pemantauan aktif Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP).
“Projek ini dilaksanakan oleh pihak swasta dan kita perlu mengambil kira rungutan rakyat yang sebahagiannya telah pun membuat pembayaran melalui potongan gaji dan masih menyewa rumah.
“Akibat rumah lambat siap, dia (pembeli) menderita akibat itu. Justeru, kerajaan mengambil inisiatif untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut.
“Sehubungan itu, satu memorandum persefahaman (MoU) di antara LPHP dan Jabatan Perumahan Negara (JPN) yang dianggap bersejarah dimeterai kerana menyaksikan kerjasama langsung kerajaan negeri dan Persekutuan dalam menangani isu projek perumahan terbengkalai.
“Kerjasama ini adalah yang pertama seumpamanya antara kerajaan negeri dan Persekutuan untuk menyelesaikan secara tuntas isu perumahan terbengkalai yang selama ini sering menimbulkan rungutan dan kegelisahan rakyat.
“Melalui kerjasama strategik ini akan memfokuskan kepada tiga aspek utama iaitu pemantauan rapi terhadap pembangunan perumahan bermasalah di Perak, pengumpulan data dan maklumat teknikal yang komprehensif serta pemulihan projek-projek terbengkalai secara sistematik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis pertukaran dokumen MoU antara Ketua Pengarah JPN, Datuk KN Jayaselan dan Ketua Pegawai Eksekutif LPHP, Mohamed Akmal Dahalan di Bangunan Perak Darul Ridzuan, pada Rabu.
Turut menyaksikan pertukaran dokumen MoU tersebut adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Dalam perkembangan berkaitan, Saarani memaklumkan data terkini dari JPN menunjukkan terdapat 58 projek perumahan melibatkan 4,007 unit rumah yang dikategorikan sebagai projek sakit di Perak sehingga 31 Mei 2024.
“Kerajaan Negeri yakin kerjasama erat kedua-dua pihak akan membawa perubahan positif dalam landskap perumahan negeri Perak dan berpontensi menjadi model kerjasama yang boleh dicontohi oleh negeri-negeri lain.
“Saya yakin kerjasama ini akan membawa impak positif yang besar dalam menyelesaikan isu perumahan di negeri Perak. Semoga usaha ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: