PONTIAN – Banyak manfaat dan limpahan ekonomi akan diterima penduduk daerah ini menerusi pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai (WCE) bagi jajaran Banting ke Gelang Patah melalui Pontian.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, antara manfaat tersebut ialah pelebaran dan penambahbaikan jalan raya di kawasan terbabit.
“Sebagaimana yang sudah berlaku di utara seperti Teluk Intan sampai ke Bagan Datuk terus ke Tanjung karang, dan juga Sabak Bernam, Sungai Besar sampai ke Banting.
“WCE akan disambung ke selatan. Jadi, apabila WCE melalui daerah seperti Pontian, yang mana jalan raya di daerah ini suatu ketika nanti mungkin akan menjadi kepada empat lorong.,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Malaysia Iconic Rally Championship 2024 di Pusat Perdagangan Pontian, di sini, semalam.
Ketika pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Projek Lebuh Raya WCE Banting-Gelang Patah yang mengguna pakai pendekatan Kerjasama Awam Swasta (PPP) akan diberi keutamaan tahun depan.
Ketika ini, satu-satunya lebuh raya yang menghubungkan Johor ke Lembah Klang bagi pengangkutan darat seperti lori, bas, kereta dan motosikal adalah PLUS yang mula dibuka sejak 1994.
Sementara itu, Ahmad berkata, sukan permotoran seperti rali dilihat berpotensi dibangunkan di kawasan bandar daerah itu yang menjadi tumpuan pengunjung.
Ahli Parlimen Pontian itu berkata, usaha berkenaan sekali gus akan menarik minat pelancong dan meningkatkan ekonomi penduduk setempat. – MalaysiaGazette