Proper A anjuran MAIPk bantu Kerajaan Perak basmi kemiskinan

IPOH – Usaha membantu golongan asnaf keluar dari kepompong kemiskinan memerlukan kerjasama erat di antara kerajaan negeri serta majlis agama Islam, bak kata peribahasa ‘hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah’.

Sebagai salah sebuah Badan Berkanun Negeri Perak, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), secara umumnya menjadi organisasi utama yang bertanggungjawab dan diamanahkan untuk mengurus zakat dan wakaf di Negeri Perak.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Shahrul Azam Shaari berkata, dana zakat merupakan instrumen penting kepada lapan golongan asnaf yang perlu dibantu dengan pelbagai jenis bentuk dan skim bantuan yang telah MAIPk sediakan.

Menurut beliau, menjadi satu cabaran bagi MAIPk untuk membantu semua golongan asnaf terutama asnaf fakir dan miskin supaya dapat mengubah kehidupan dan mengeluarkan golongan ini daripada kepompong kemiskinan.

Maka tidak hairanlah, Pelan Perak Sejahtera 2023 melalui Program Flagship Perak Sejahtera 2030, menggariskan beberapa projek melibatkan MAIPk antaranya 1 Keluarga 1 Ijazah dan 1 Keluarga 1 Usahawan.

Selain itu, Pelan Perak Sejahtera 2030 turut mengandungi Program Flagship bagi membasmi miskin tegar 2025 sebagai langkah untuk mengurangkan kemiskinan tegar dan meningkatkan kesejahteraan semua rakyat tanpa mengira jantina, etnik, status ekonomi dan lokasi.

Proper A, Asnaf MAIPk, Perak Sejahtera 2030
Sebahagian peserta Kursus Refleksologi dan Urutan di bawah program Proper A anjuran MAIPk yang berusaha mengubah kehidupan mereka dengan bimbingan dan bantuan dari Badan Berkanun Kerajaan Negeri Perak itu. Foto ABDULLAH YUSOF.

Bagi MAIPk kejayaan melahirkan kira-kira 400 usahawan daripada golongan asnaf menerusi Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf (Proper A), yang mula diperkenalkan sejak tahun 2016 merupakan antara kejayaan badan berkanun berkenaan dalam membasmi kemiskinan di Perak.

Dengan perbelanjaan lebih RM5 juta sejak diperkenalkan tujuh tahun lalu sehingga 2023, program Proper A menyediakan latihan dalam bidang keusahawanan khusus untuk golongan asnaf bagi membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.

Pengurus Besar Bahagian Agihan Zakat MAIPk, Rohizan Omar sebelum ini berkata, lebih manis lagi apabila ada dalam kalangan usahawan di bawah program Proper A sudah mula membayar zakat.

Ujar beliau, ia selari dengan objektif MAIPk mengadakan program berkenaan yang merupakan sebahagian daripada agenda badan berkanun itu dalam membantu asnaf yang berpotensi untuk dikeluarkan daripada kategori fakir dan miskin.

“Ini merupakan salah satu agenda MAIPk untuk meningkatkan ekonomi asnaf, sekali gus mengeluarkan mereka dari kepompong kemiskinan dengan menjalankan perniagaan dan kemudian membayar zakat selari dengan matlamat akhir kita,” katanya.

Bagi salah seorang peserta program Proper A, Khairruddin Mazli, 32, inisiatif yang disediakan MAIPk itu bukan hanya memberi ruang kepadanya untuk meningkatkan kemahiran sebagai tukang urut malah juga pendapatan bulanannya.

Bekas pekerja kilang yang cacat penglihatan akibat glaukoma sejak 12 tahun lalu itu sebelum ini hanya menjalankan perniagaan urutnya di kaki lima premis dan taman rekreasi bagi menambah pendapatan.

“Saya belajar kemahiran ini di Jalan Brickfield, Kuala Lumpur dan kini meneruskan khidmat urutan bersama rakan niaga di sebuah premis di Meru Raya.

“Bagaimanapun, situasi ekonomi selepas pandemik yang tidak menentu, bisnes kami hanya cukup bayar sewa premis dan bila diberi peluang seperti ini ia amat membantu,” katanya.

Khairruddin berkata melalui bimbingan yang diberikan dia berharap dapat menambah punca rezekinya untuk menampung kehidupan harian. -MG Perak

BACA SELANJUTNYA:

MAIPk lahirkan lebih 400 usahawan menerusi Proper A

Dua OKU tekad ubah nasib diri, keluarga

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI