BERKELUASAN 225 ekar Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) Lenggong kini mempunyai kira-kira 250 ekor ternakan rusa di mana lokasinya turut disepadukan dengan agrotani dan agropelancongan.
Projek yang diuruskan Koperasi Penggerak Ekonomi Lenggong Berhad (COSPEL) ini mendapat suntikan dana dari Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berjumlah RM8 juta bagi tempoh lima tahun.
Menjadikan perladangan rusa secara padang ragut di Padang Sadang sebagai pengkhususan, projek ini mengandungi tiga komponen iaitu ekonomi 60 peratus dan prasarana serta perumahan masing-masing 20 peratus.
Ikuti temubual khas Malaysia Gazette bersama Pengerusi Jawatankuasa PROSPEK Lenggong, Mohd Noor Azam Ismail dan Pengerusi COSPEL, Mohd Hairil Faiz Hanafiah bercerita lanjut mengenai ternakan rusa dan bagaimana projek ini menjadi sebahagian dalam Pelan Perak Sejahtera 2030.
Wartawan: Boleh terangkan kepada kami bagaimana idea pelaksanaan projek ini tercetus?
Noor Azam: Untuk makluman projek ini bermula pada 2019 di mana Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Lenggong bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak bersama-sama membangunkan kertas kerja dan diangkat kepada KKDW untuk memohon peruntukan di Bawah projek PROSPEK.
Susulan dari kertas kerja pada 2021 satu kajian kebolehlaksanaan telah dijalankan dan KKDW melantik Universiti Sains Malaysia (USM) mengadakan kajian dan berdasarkan itu permohonan kami diluluskan dengan peruntukan berjumlah RM8 juta diberikan kepada PDT Lenggong.
Tidak berhenti di situ, kami juga berjaya menarik minat Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) yang merupakan salah sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri Perak untuk bekerjasama dan menyumbang RM2 juta bagi pembangunan di ladang.
Untuk makluman juga PROSPEK Lenggong terbahagi kepada tiga komponen utama iaitu ekonomi (60 peratus) yang memberi tumpuan kepada ladang rusa, manakala prasarana (20 peratus) di mana kita membantu enam kampung sekitar ladang seperti jalan asas dan longkang.
Baki 20 peratus lagi adalah perumahan yang mana kita bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal sebagai nilai tambah membantu mereka yang tidak melepasi skop bantuan dengan menyediakan bantuan baik pulih serta bina baharu kediaman.
Selain itu, di bawah skop ekonomi juga kita membantu usahawan luar yang berpotensi berkembang dengan memberi bantuan peralatan, modal dan sebagainya.
Wartawan: Bagaimana PROSPEK Lenggong meguruskan ladang ternakan rusa dan diwaktu sama membantu usahawan ternakan rusa di Lenggong?
Noor Azam: Ladang rusa di Lenggong ini, kita juga dikenali sebagai kawasan yang membekalkan daging rusa terbesar di Malaysia.
Kalau kita lihat harga pasaran ditentukan di sini, jualan di luar untuk set harga pasaran di sini sebab kita antara pembekal terbesar di sini.
Kita ada enam ladang yang ada di kampung-kampung pun ada dan terbesar fdi sini, kelausan lebih kurang 225 ekar ladang rusa.
Kita juga membantu ladang-ladang rusa kecil di kampung ini dan aspek apa mereka perlukan seperti infrastruktur, kita bantu dari segi sudut penjualan.
Biasanya ladang-ladang kecil ini selain menjual daging mentah mereka juga turut menjual baka, jadi untuk memasuki pasaran agak sukar bagi mereka.
Apa yang kami lakukan adalah membantu membeli baka dari ladang-ladang kecil ini.
Wartawan: Dari sudut penglibatan usahawan ternakan rusa apa aturan dilakukan agar ia membangun serentak dengan PROSPEK Lenggong?
Noor Azam: Untuk dari segi Kerjasama dengan pihak usahawan kita sebenarnya melihat isu ini dari skop yang lebih luas, sebab itu datangnya pihak PDT Lenggong itu sendiri.
saya selaku Pengerusi PROSPEK Lenggong melihat kehadiran kami dalam industri untuk rusa ini, pada mulanya kami dilihat sebagai pesaing kerana mempunyai ladang yang besar, tetapi itu bukan tujuan utama kami.
Tujuan utama PROSPEK Lenggong adalah untuk sama-sama kita naikkan perusahaan ini kerana di kawasan ini semuanya bumiputera (usahawan ternakan rusa) dan itu adalah agenda utama.
Apa kita buat adalah berbincang dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan adakan Kerjasama dengan beberapa agensi yang lain selain berbincang dengan pemilik ladang-ladang kecil yang ada di sekitar Lenggong untuk adakan kerjasama.
Macam saya katakana kita beri bantuan kepada mereka dan kalau kita hendak bersaing kita tidak akan beri bantuan, kita akan tonjolkan diri kita sahaja.
Kami hendak mengekalkan status sebagai pembekal daging rusa terbesar di Malaysia dan kita hendak jadi penanda aras harga di pasaran.
Dipasaran harga daging rusa RM75 bagi satu kilogram (KG), tapi di luar Lenggong seperti Kuala Lumpur misalnya ia boleh berada antara RM95 hingga RM120 satu KG.
Jadi apa kita buat sekarang kerjasama dan masih diperingkat rundingan, perbincangan untuk kita angkat dan kerana itu dalam perkembangan ladang kita telah bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri Perak.
Projek PROSPEK Lenggong ini kita daftarkan sebagai salah satu di dalam Pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah skop keterjaminan makanan yang mana kita mahu ladang Sadang ini menjadi pemangkin kepada ladang-ladang lain.
Kita ada perancangan kedepan untuk menjadi salah satu hab dan platform memasarkan daging rusa bagi ladang-ladang lain.
Wartawan: Boleh kongsikan aspek penjagaan rusa adakah mereka yang ditugaskan melalui sebarang kerumitan?
Hairil Faiz: Di Bawah PROSPEK sendiri kita melaksanakan temuduga bagi memilih peserta-peserta yang ditugaskan di sini termasuklah mengurus serta menjaga rusa yang kami ada.
Buat masa ini kita mempunyai 11 peserta koperasi yang mengurus PROSPEK Lenggong di mana kita pilih dan beri mereka kursus memandangkan koperasi dilantik untuk pengurusan ekonomi, rusa serta pertanian dan agro pelancongan.
Pada awal permulaan kami cabarannya terlalu berat memandangkan peserta-peserta yang menjaga rusa ini belum didedah dengan pengurusan haiwan ruminan ini dan sebab itu kita tawar kursus berkaitan.
Asalnya kami mempunyai 20 peserta namun hanya 11 yang memberi komitmen dan alhamdulillah kita salurkan komitmen yang diber mereka unuk pertanian dan agro pelancongan bagi menarik perhatian orang awam serta meningkatkan pendapatan.
Wartawan: Boleh kongsikan perancangan dan harapan PROSPEK Lenggong?
Noor Azam: Untuk kedepan sudah pasti kerana sekarang kami beroperasi dengan peruntukkan KKDW untuk tempoh lima tahun dengan kos diberi RM8 juta dan pembiayaan dari kerajaan ini bukan bersifat selamanya.
Jadi kita perlu bergerak pantas untuk memastikan apabila selesai bantuan kita kena bergerak sendiri dan kita memang banyak perancangan kedepan unntuk kita kembangkan PROSPEK Lenggong bukan sahaja dari sudut perkembangan ladang malah pertanian dan agro pelancongan.
Kita tidak melihat kepada hanya sekitar membangunkan ladang ini sahaja tapi kita melihat lebih luas sebagaimana hasrat Pelan Perak Sejahtera 2030.
Sebagai salah satu skop yang didaftarkan sebagai keterjaminan makanan kita lihat ini adalah satu nilai tambah yang boleh kita lontarkan dalam pasaran.
Pembekalan daging sihat diluar sana dari segi aspek kesihatan ini yang cuba kita jual walaupun Nampak premium tetapi premium itu bersebab.
Kedepan nanti kami berharap kami akan menjadi hab bagi meluaskan apsaran daging rusa bukan sahaja dalam negara malah luar negara. -MG Perak
Artikel Berkaitan: