TANJUNG MALIM – Pembinaan Kilang Kenderaan Elektrik (EV) PROTON yang dijadualkan siap pada 2026 bakal menjadikan syarikat automotif nasional itu sebagai pelabur terbesar di Perak kata, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri Perak melihat pembinaan kilang EV milik PROTON itu bukan sekadar fasiliti kilang pemasangan semata-mata tetapi merupakan pelaburan masa hadapan.
Jelas beliau, ini kerana ia merupakan kilang pertama di Malaysia yang dibina khusus untuk pemasangan kenderaan tenaga baharu yang mencerminkan komitmen Malaysia terhadap teknologi hijau dan kemajuan industri automotif negara.
“Komitmen ini hadir bersama keyakinan bahawa Malaysia memiliki kelebihan unik dalam industri EV, ekosistem automotif yang kukuh, kepakaran dalam semikonduktor dan elektronik automotif, serta inisiatif kerajaan seperti pemasangan 10,000 stesen pengecasan EV menjelang 2025.
“Keunikan ini bukan sahaja memberi kelebihan daya saing, tetapi turut menarik pelaburan strategik dari syarikat automotif utama seperti PROTON, yang terus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam industri EV,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Majlis Pecah Tanah Kilang Kenderaan Elektrik (EV) PROTON di sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Lembaga Pengarah PROTON, Ahmad Jauhari Yahya; Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah.
Tambah Saarani, sebagai peneraju dalam industri ini, PROTON terus memainkan peranan strategik dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab EV.
Jelas beliau, sejak 2018, PROTON telah melabur sebanyak RM2.3 bilion, membuktikan komitmen jangka panjang syarikat ini dalam membangunkan ekosistem EV yang mampan dan berdaya saing.
“Pelaburan ini tidak terhenti di sini kerana dengan pembinaan kilang baharu, fasiliti stamping yang bakal disiapkan tahun ini, serta gudang moden yang dijadualkan siap pada tahun 2026, PROTON bakal muncul sebagai pelabur terbesar di negeri Perak, sekali gus memperkukuh peranan AHTV sebagai pusat kecemerlangan automotif Malaysia.
“Dalam memastikan ekosistem industri ini lebih efisien dan kompetitif, kemudahan infrastruktur turut dipertingkatkan dan saluran paip gas ke AHTV kini telah mencapai 98 peratus pembinaan dan dijangka siap pada suku kedua 2025, membolehkan lebih banyak syarikat beroperasi dengan tenaga yang lebih cekap dan kos yang lebih kompetitif,” katanya.
Saarani berkata, keseluruhan kawasan AHTV juga telah disediakan perkhidmatan 5G bagi meningkatkan daya saing AHTV, malah menjadikannya lebih bersedia menerima pelabur berteknologi tinggi.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri, kita yakin bahawa akses perhubungan dan infrastruktur yang mantap amat penting dalam memajukan industri berteknologi tinggi.
“Justeru, selepas projek Lebuhraya West Ipoh Span Expressway (WISE) yang menghubungkan Gopeng dan Kuala Kangsar, Kerajaan Perak turut mempunyai perancangan jangka panjang untuk memperkasakan jaringan logistic,” katanya. -MG Perak