PROTON mulakan pembinaan kilang EV pertama di AHTV

TANJUNG MALIM – Proton Holdings Bhd (PROTON) selangkah ke hadapan dalam menyokong rancangan perindustrian kenderaan elektrik (EV) apabila memulakan pembinaan kilang EV pertamanya di Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV), di sini.

Fasiliti dengan pelaburan berjumlah RM82 juta itu bakal menghasilkan pelbagai model kenderaan tenaga baharu (NEV) bagi pasaran tempatan dan eksport.

Syarikat automotif nasional tersebut menyasarkan fasa pertama pelan pemasangan EV dapat disiap pada akhir 2025, dengan kapasiti pengeluaran awal 20,000 unit setahun.

Setelah siap, kilang EV PROTON itu akan menghasilkan pelbagai model berdasarkan platform Struktur Modular Global (GMA) bermula dengan model EV pertama jenama automotif Malaysia iaitu Proton e.MAS 7 yang dilancarkan Disember tahun lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad melihat kereta Proton e.MAS-7 pada Majlis Perasmian Majlis Pecah Tanah Kilang Kenderaan Elektrik (EV) PROTON, Tanjung Malim. Foto, ABDULLAH YUSOF, 07 FEBRUARI 2025.

Ahli Lembaga Pengarah PROTON, Ahmad Jauhari Yahya berkata, pembinaan kilang pemasangan baharu merupakan antara keutamaan dalam industri automotif negara.

Jelas beliau, ia ekoran mempunyai impak yang luas kepada pekerja, pembekal dan pelbagai pihak berkepentingan.

“Bagaimanapun, kilang baharu PROTON ini berbeza dari perspektif teknologi kerana direka khusus untuk memasang NEV seperti e.MAS 7.

“Secara ringkasnya, kilang baharu ini akan mengukuhkan lagi PROTON di barisan hadapan rancangan perindustrian EV Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Majlis Pecah Tanah Kilang Kenderaan Elektrik (EV) PROTON di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah.

Ahli Lembaga Pengarah PROTON, Ahmad Jauhari Yahya berucap pada Majlis Perasmian Majlis Pecah Tanah Kilang Kenderaan Elektrik (EV) PROTON, Tanjung Malim. Foto, ABDULLAH YUSOF, 07 FEBRUARI 2025.

Tambah Ahmad Jauhari setelah beroperasi, kilang EV pertama itu akan memberikan lonjakan kuantum dalam keupayaan PROTON untuk memasang pelbagai model, daripada kenderaan elektrik bateri tulen (BEV) hingga ke plug-in hybrid dan EV penjana jarak jauh.

“Digabungkan dengan keupayaan pemasangan sedia ada kami, fasiliti baharu PROTON ini akan membolehkan kami menawar pelbagai jenis kenderaan yang menggunakan pelbagai penyelesaian tenaga kepada pelanggan kami.

“Malah Dr Li telah memberi bayangan beberapa model baharu yang menarik kini dalam perancangan kami,” katanya.

Sementara itu, PROTON dalam kenyataan berkata, syarikat itu sudah mempunyai rancangan bagi fasa kedua kilang pengeluaran baharunya sebagai persediaan untuk penerimaan dan permintaan EV yang semakin meningkat daripada pelanggannya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyaksikan Ahli Lembaga Pengarah PROTON, Ahmad Jauhari Yahya menyerahkan kenderaan polis Proton S70 kepada Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir pada Majlis Perasmian Majlis Pecah Tanah Kilang Kenderaan Elektrik (EV) PROTON, Tanjung Malim. Foto, ABDULLAH YUSOF, 07 FEBRUARI 2025.

Katanya, ia akan meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada 45,000 unit setahun dan akan dilaksanakan berdasarkan permintaan daripada pembeli di pasaran Malaysia dan luar negara.

“Walaupun menggunakan operasi pengeluaran pintar, kilang baru PROTON dijangka mewujudkan lebih 200
pekerjaan baru dalam Perindustrian EV untuk komuniti tempatan.

“Ini belum termasuk kesan kepada vendor AHTV apabila mereka meningkatkan operasi untuk membekalkan bahagian-bahagian penting bagi pemasangan,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Jirat Cina, rumah pangsa antara ‘port’ penagih

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI