TANJUNG MALIM – Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) optimis dalam melatih golongan belia dan pelajar sekolah khususnya supaya memupuk kesedaran menyayangi haiwan supaya kehidupan flora dan fauna di negara ini terpelihara untuk generasi masa hadapan.
Justeru, bagi merealisasikan Impian itu, pensyarah bersama pelajar PSAS serta murid Sekolah Kebangsaan Pos Bersih dan wakil Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia (PERKAM) telah menyertai aktiviti kerja sosial di Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) Sungkai, di sini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan PSAS, seramai 80 peserta terlibat dalam program ‘CSR Kesedaran dan Inspirasi Lindungi Alam Sekitar’ anjuran PSAS dengan kerjasama PERKAM.
“Program ini penting untuk melatih peserta amnya pelajar supaya dapat memupuk kesedaran untuk mencintai haiwan, rasa hormat, bertimbang rasa dan bertanggungjawab kepada kelestarian alam yang secara tidak langsung dapat disampaikan kepada keluarga dan masyarakat.
“Peserta turut diterapkan dengan semangat menyumbang semula tidak hanya dalam bentuk wang ringgit tetapi dalam bentuk khidmat masyarakat kepada alam sekitar.
“Dalam masa sama, peserta dapat mendekati alam terutamanya habitat semulajadi dan cakna akan isu haiwan yang terancam di Malaysia,” kata kenyataan itu pada Selasa.
Kenyataan itu turut menjelaskan, program tersebut berjaya menarik minat peserta untuk terus berjasa kepada alam semulajadi dan menjadi titik punca untuk pelajar bersedia menempuh alam pekerjaan dan kehidupan mereka pada masa akan datang.
“Sepanjang program berlangsung, peserta telah menjalankan aktiviti membersihkan sangkar, memberi makanan kepada haiwan, membersihkan kawasan, mengecat dinding bangunan dan mencuci longkang yang tersumbat.
“PKHL Sungkai turut menjalankan pembiakan haiwan terancam seperti seladang, rusa sambar, burung kuang dan tenggiling,” ujarnya.
Majlis perasmian disempurnakan Pengarah PSAS, Ts Mohd Zulkefli Ibrahim yang turut dihadiri Presiden PERKAM, Dr S Santharasekaran.
PSAS turut menerima Sijil Anugerah Alam iaitu Anugerah Sang Harimau yang telah disampaikan Santharasekaran. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kejohanan FIRA Malaysia ke-17 lahir graduan berkualiti, berdaya saing