PTG Perak perjelas isu status tanah rizab Melayu

IPOH – Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Perak tampil memperjelaskan dakwaan tular media sosial kononnya wujud pembatalan status tanah rizab Melayu di negeri ini secara senyap oleh pihak pentadbiran tanah.

PTG Perak dalam satu kenyataan memaklumkan berdasarkan semakan dan pengesahan dari pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) Negeri Perak, plot berkenaan yang berkeluasan 1,941 ekar bukan berstatus tanah rizab Melayu seperti didakwa.

“Walaupun tidak menyatakan secara spesifik, dakwaan itu dipercayai merujuk kepada status tanah bagi plot PT 32509 di Mukim Lambor Kanan, Perak Tengah yang pernah dibangkitkan di media sosial dan telah dijelaskan oleh Kerajaan Negeri sebelum ini.

“Bagaimanapun, kekeliruan mula timbul selepas tersebarnya tangkap layar (screenshot) carian rasmi sekitar Oktober 2024 yang menunjukkan terdapat catatan ‘kemasukan tanah rizab Melayu’ bagi plot berkenaan yang belum lagi didaftarkan,” katanya.

Tambahnya lagi, pihak yang menyebarkan tangkap layar berkenaan kemudiannya mendakwa catatan tersebut telah ‘hilang’ dalam carian rasmi dan membuat kesimpulan bahawa tanah tersebut telah dibatalkan status sebagai tanah rizab Melayu.

“Catatan yang ditularkan bukan endorsan tanah rizab Melayu seperti didakwa, sebaliknya hanya catatan ‘urusan dalam perserahan yang belum didaftarkan’ seperti yang dinyatakan jelas dalam carian rasmi itu sendiri.

PTG Perak dalam kenyataan sama berkata, kewujudan catatan ‘kemasukan tanah rizab Melayu’ adalah kerana sistem e-Tanah mengesan sebahagian kecil iaitu 31.1 ekar daripada luas keseluruhan PT 32509 bertindih sempadan dengan tanah Felcra Nasarudin yang berstatus tanah rizab Melayu.

Jelasnya, susulan itu, PTG Perak telah mengambil tindakan penyelesaian dengan mengeluarkan kawasan yang bertindih tersebut bagi memastikan tanah 31.1 ekar itu kekal sebagai tanah rizab Melayu Nasarudin.

“Langkah ini dengan sendirinya membuktikan bahawa pihak berkuasa tanah bertindak secara cermat dengan memastikan sistem dan prosedur pengurusan tanah sentiasa melindungi kepentingan tanah rizab Melayu seperti termaktub dalam Enakmen Tanah Rizab Melayu,” katanya.

Terdahulu tular rakaman video di media sosial menerusi akaun TikTok seorang individu mendakwa kononnya endorsan kemasukan tanah rizab Melayu bagi satu plot tanah telah dibatal dan dipadam statusnya secara senyap oleh pentabdiran tanah. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI