KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) menolak dakwaan satu gabungan pusat-pusat latihan swasta bahawa PTPK telah beberapa kali menghentikan pembiayaan pinjaman pelajaran serta elaun sara hidup bulanan.
PTPK dalam kenyataannya berkata, sehingga Ogos 2025, sejumlah RM524 juta pinjaman dan komitmen pembiayaan aktif diluluskan melibatkan 52,098 orang pelajar dan 306 pusat latihan.
Tambahnya, pada tahun ini sahaja, seramai 21,947 orang pelajar telah diluluskan pinjaman mereka.
“Semua pelajar yang telah diluluskan pinjaman masih terus menerima pembiayaan dan elaun sara hidup seperti biasa. Malah, elaun sara hidup kini telah dinaikkan daripada RM400 kepada RM800 bagi setiap pelajar,” katanya.
Sehubungan itu katanya, dakwaan yang dibangkitkan oleh pihak berkenaan adalah tidak berasas sama sekali. Ini kerana pada hakikatnya, tiada seorang pun pelajar yang sudah diluluskan pinjaman diberhentikan pembiayaan mereka.
Menurut kenyataan itu, PTPK sentiasa beriltizam untuk memastikan anak muda Malaysia mendapat akses kepada latihan kemahiran yang relevan, inklusif dan selari dengan keperluan pasaran kerja semasa.
Iltizam itu dibuktikan dengan kelulusan pinjaman sebanyak RM4.76 bilion melibatkan 306,600 peminjam sejak penubuhan PTPK pada tahun 2001.
Pada masa akan datang, pengagihan dana PTPK akan dipandu oleh beberapa penekanan utama termasuk keutamaan kepada program berimpak tinggi; rekod prestasi bayaran balik pinjaman; pematuhan terhadap syarat permohonan (termasuk rayuan); dan penempatan pekerjaan selepas tamat latihan
Dengan pendekatan baharu berasaskan Performance-Based Budgeting dan prinsip Value for Money, PTPK yakin bahawa keberkesanan dan kelangsungan dana akan terus terjamin sekali gus memastikan para pelajar mengikuti kursus yang lebih berkualiti, memperoleh kelayakan yang lebih baik dan mempunyai masa depan yang lebih terjamin. -MalaysiaGazette