PTPTN Cawangan Taiping berwajah baharu, beri perkhidmatan terbaik

TAIPING – Penjenamaan semula cawangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Taiping bakal mengukuhkan identiti korporat serta meningkatkan keyakinan masyarakat dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Pengerusinya, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, dalam memastikan identiti korporat PTPTN terus disegani dan kepercayaan yang kukuh serta imej yang positif, PTPTN telah melaksanakan penjenamaan semula secara berperingkat bermula 2020.

“Alhamdulillah, pelbagai penambahbaikan telah dan sedang dilaksanakan secara menyeluruh, antaranya merangkumi operasi, identiti produk dan imej seluruh cawangan PTPTN.

“Justeru, kepada seluruh masyarakat negeri Perak, boleh hadir ke Cawangan Taiping bagi mendapatkan pelbagai perkhidmatan yang disediakan dan menikmati kemudahan pejabat yang lebih selesa dan kondusif,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pejabat PTPTN Cawangan Taiping, di sini, pada Selasa.

PTPTN Cawangan Taiping berwajah baharu, beri perkhidmatan terbaik
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Norliza Abdul Rahim (dua,kiri) ketika merasmikan Pejabat PTPTN Cawangan Taiping di Taiping Business Centre, Taiping. Foto ABDULLAH YUSOF, 23 JANUARI 2024.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak, Datuk Salbiah Mohamed dan Ketua Eksekutif PTPTN, Andi Nurali Mohamed.

Norliza turut menyambut baik usaha kerajaan negeri Perak yang memberikan insentif melalui Tabung Simpanan Pendidikan Anak Perak (TASPEN) berjumlah RM200 seorang dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime.

“Sehingga 31 Disember 2023, seramai 31,271 anak Perak yang lahir telah menerima manfaat berkenaan dengan peruntukan keseluruhan bernilai RM6.25 juta,” katanya.

Pengunjung teruja wajah baharu PTPTN Cawangan Taiping

Sementara itu, salah seorang pengunjung PTPTN Cawangan Taiping, G. Kanthini, 24, menzahirkan rasa teruja melihat cawangan yang dikunjunginya sejak 2019 berubah lokasi dan berwajah baharu.

Penuntut Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) itu berkata, sebelum ini PTPTN Cawangan Taiping hanyalah sebuah kiosk kecil yang banyak memudahkan urusannya berkaitan PTPTN.

Pelanggan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Kanthini Gunasangaram, 24, di Pejabat PTPTN Cawangan Taiping di Taiping Business Centre, Taiping. Foto ABDULLAH YUSOF, 23 JANUARI 2024.

“Kerana PTPTN saya dapat sambung belajar tanpa meminta wang daripada ibu dan bapa saya untuk perbelanjaan saya di universiti seperti makanan dan peralatan belajar.

“Saya harap dengan cawangan yang lebih besar dan selesa ini perkhidmatan PTPTN yang cemerlang sebelum ini akan bertambah lebih bagus untuk penduduk Taiping,” katanya.

Pelanggan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), yang hadir membuat urusan di kaunter Pejabat PTPTN Cawangan Taiping di Taiping Business Centre, Taiping. Foto ABDULLAH YUSOF, 23 JANUARI 2024.

Seorang lagi pengunjung Musliani Mustafa Abu Bakar, 19, berkata, beliau sering berurusan di kaunter PTPTN Cawangan Taiping sebelum ini dan perubahan yang dibawa dengan penjenamaan semula memberikan keselesaan kepadanya.

“Dengan adanya cawangan berwajah baharu di lokasi baharu ini ia akan memudahkan pelanggan PTPTN yang datang berurusan di kaunter,” katanya.

Terkejut terima hadiah utama Kempen Cabutan Jom Bayar PTPTN Negeri perak

Pada majlis sama, PTPTN turut menyampaikan hadiah kepada lima pemenang Kempen Cabutan Jom Bayar PTPTN bagi Negeri Perak yang telah diadakan sempena Hari Mesra Pelanggan dengan jumlah keseluruhan RM5,000.

Kempen yang berlangsung pada Disember 2023 lalu menawarkan hadiah tunai keseluruhan berjumlah RM70,000 kepada 140 pemenang dalam bentuk akaun Simpan SSPN yang berperanan meningkatkan kesedaran peminjam membuat bayaran balik pinjaman mereka.

Bagi pemenang utama kempen berkenaan, Noor Asmahani Abdull Ghani, 36, dia tidak pernah menyangka menerima wang tunai RM2,000 disebabkan komitmennya membayar pinjaman PTPTN.

Pemenang utama cabutan Jom Bayar PTPTN peringkat negeri Perak, Noor Asmahani Abdull Ghani 36, pada majlis perasmian Pejabat Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Cawangan Taiping di Taiping Business Centre, Taiping. Foto ABDULLAH YUSOF, 23 JANUARI 2024.

“Saya mula membuat bayaran PTPTN dari tahun 2015 lagi dan bila diumumkan sebagai pemenang hadiah utama saya terkejut kerana tidak menyangka menerima hadiah daripada PTPTN atas komitmen saya.

“Buat masa ini saya terfikir untuk menggunakan wang yang dimenangi ini bagi membayar baki pinjaman saya kerana ia mungkin boleh mengurangkan bayaran bulanan atau mempercepatkan tempoh bayaran saya,” katanya.

Noor Asmahani turut menasihati peminjam PTPTN agar menunaikan tanggungjawab dengan membayar kembali pinjaman bagi memberi peluang kepada generasi akan datang menikmati pinjaman pelajaran.

“Saya sarankan untuk peminjam di luar sana yang belum buat bayaran buatlah kerana bayaran pinjaman kita ini akan membantu generasi akan datang untuk menyambung pelajaran dengan bantuan PTPTN,” katanya.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Norliza Abdul Rahim (tengah) memotong riben ketika merasmikan Pejabat PTPTN Cawangan Taiping di Taiping Business Centre, Taiping. Foto ABDULLAH YUSOF, 23 JANUARI 2024.

Menyedari kepentingan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam membantu mereka yang memerlukan, PTPTN juga turut memberi sumbangan zakat berjumlah RM10,000 kepada 100 pelajar asnaf di Mukim Batu Kurau dan Kariah Masjid Jamek Kamunting dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime berjumlah RM100 setiap orang.

Mulai 2012, PTPTN telah menubuhkan Pejabat PTPTN Negeri dan Cawangan di seluruh negara untuk memastikan badan berkanun itu sentiasa dekat dengan pelanggan dalam memberikan perkhidmatan terbaik.

Selari dengan komitmen itu, sebanyak 58 Pejabat PTPTN Negeri dan Cawangan termasuk Pejabat PTPTN Negeri (PPN) Perak yang beroperasi pada Julai 2012 di Ipoh, Perak, yang merupakan antara PPN terawal ditubuhkan.

Selain itu, terdapat tiga Pejabat PTPTN Cawangan (PPC) di Perak iaitu Cawangan Manjung dan Cawangan Taiping yang mula beroperasi pada April 2015 serta Cawangan Teluk Intan yang mula beroperasi pada Oktober 2015. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

MGPerak: PTPTN Cawangan Taiping Berwajah Baharu, Beri Perkhidmatan Terbaik

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI