PTPTN sampaikan manfaat simpan SSPN kepada anak mangsa nahas FRU

IPOH – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini menyampaikan manfaat perlindungan berjumlah RM193,000 menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) kepada anak-anak anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Allahyarham Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, yang terkorban dalam nahas di Teluk Intan pada Selasa.

Pengerusinya, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, jumlah itu adalah hasil simpanan Allahyarham Mohd Roslan menerusi dua produk iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus.

“Allahyarham membuka akaun Simpan SSPN Prime atas nama sendiri pada 7 Mei lalu dan layak menerima manfaat takaful sebanyak RM1,000 serta khairat kematian RM3,000.

“Selain itu, Allahyarham turut membuka tiga akaun Simpan SSPN Plus di bawah Pakej Intan untuk anak-anaknya sejak 31 Mac 2019 dengan komitmen RM30 sebulan bagi setiap akaun.

“Ini melayakkan waris menerima manfaat takaful kematian akibat kemalangan sebanyak RM60,000 bagi setiap akaun, menjadikan jumlah keseluruhan RM180,000.

“Waris turut menerima khairat kematian sebanyak RM9,000 untuk ketiga-tiga akaun,” katanya dalam Program Ziarah Kasih PTPTN di kediaman keluarga Allahyarham di Taman Kinding Raya, Tanjung Rambutan di sini pada Ahad.

Beliau berharap agar manfaat ini dapat membantu isteri Allahyarham, Nur Aini Samiun, 44, dalam membesarkan ketiga-tiga anak mereka, terutamanya seorang anak istimewa yang kini berusia 13 tahun.

Ziarah Kasih PTPTN: Anak-anak mangsa nahas FRU terima manfaat simpan SSPN
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Seri Norliza Abdul Rahim ketika menjawab pertanyaan media di Taman Kinding Raya, Tanjung Rambutan, Ipoh, pada Ahad. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 18 MEI 2025.

“Inilah yang kami tekankan di PTPTN betapa pentingnya menyimpan dalam Simpan SSPN kerana ia bukan sahaja untuk pendidikan, tetapi juga memberikan perlindungan takaful yang boleh membantu keluarga sekiranya berlaku perkara yang tidak dijangka seperti kemalangan.

“Kita tidak tahu bila musibah akan menimpa, namun disebabkan Allahyarham bijak merancang masa depan anak-anaknya melalui simpanan ini, warisnya kini menerima manfaat yang besar, yang Insya-Allah dapat membantu meneruskan kehidupan mereka,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang lagi mangsa nahas tersebut, Allahyarham Koperal Amiruddin Zabri, 38, turut menerima manfaat SSPN Prime berjumlah RM4,000.

Beliau berkata, PTPTN turut menyampaikan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada anak-anak mangsa nahas melibatkan 15 orang, masing-masing menerima RM1,000 dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan CSR sebanyak RM15,000.

Dalam kejadian pada pagi Selasa, lori yang dipandu lelaki itu bertembung dan merempuh trak yang membawa 18 anggota FRU yang sedang dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai menjalankan tugas sempena perayaan Chitrapournami di sini.

Akibat kemalangan itu sembilan anggota FRU yang menaiki trak berkenaan maut, manakala sembilan lagi mengalami pelbagai kecederaan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

“Kenapa lori itu langgar sampai ayah mati?“ – anak bongsu Sarjan Mohd Roslan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI