Pulau Pangkor sumbang lebih RM42 juta pendaratan ikan bilis

KUALA LUMPUR – Pulau Pangkor mencatatkan pendaratan ikan bilis sebanyak 2,844.44 tan metrik bernilai RM42.67 juta pada tahun 2024, sekali gus menjadikannya
penyumbang terbesar hasil pendaratan ikan bilis di negeri Perak.

Secara nasional, pendaratan ikan bilis pada tahun 2024 adalah 14,589.20 tan metrik bernilai RM164.89 juta.

Bahkan, rekod lima tahun menunjukkan pendaratan ikan bilis di Pulau Pangkor meningkat daripada 879.93 tan metrik (RM8.97 juta) pada 2020 kepada 2,844.44 tan metrik (RM42.67 juta) pada 2024, membuktikan potensi pertumbuhan yang konsisten dan kukuh.

Jabatan Perikanan berkata, statistik ini merujuk kepada spesies yang sama iaitu Bilis/Bunga Air, yang dikategorikan dalam rekod rasmi.

Negeri-negeri utama pengeluar ikan bilis termasuk Sabah (5,956.17 tan metrik), Kedah (1,818.98 tan metrik), Perak (2,852.91 tan metrik) dan Kelantan (992.65 tan metrik).

“Walaupun data bot penangkapan di Pulau Pangkor tidak membezakan secara khusus bot yang menangkap ikan bilis, kawasan ini mempunyai 694 bot berdaftar yang beroperasi di pelbagai zon iaitu Zon A (462 vesel), Zon B (44 vesel), Zon C (168 vesel) dan Zon C2 (20 vesel).

“Kapasiti ini membolehkan aktiviti pendaratan pelbagai spesies ikan dijalankan secara berterusan, termasuk ikan bilis,” menurut jabatan ini sempena lawatan kerja Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu ke kawasan ini.

Selain ikan bilis, statistik Jabatan Perikanan bagi tahun 2024 menunjuk 10 spesies utama yang didaratkan di Manjung Selatan ialah Pelaling/Temenong, Kayu/Tongkol/Aya Kurik, Tamban Sisek, Selayang/Cerut, Bilis/Bunga Air, Kembong, Cincaru, Selar, Udang Putih/Kertas Besar dan Sotong Biasa. Keseluruhan pendaratan di daerah ini bernilai RM644.08 juta.

Pulau Pangkor turut memainkan peranan dalam sektor akuakultur negeri Perak, dengan pengeluaran sebanyak 7,056.40 tan metrik pada tahun 2024.

Aktiviti ini melibatkan pelbagai sistem ternakan seperti kolam air payau, sangkar, kerang-kerangan, kolam air tawar, hatchery dan hiasan air tawar, meliputi keluasan lebih 1,264 hektar, tambahnya.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, Pulau Pangkor kekal sebagai lokasi penting dalam industri perikanan negara dengan kelebihan strategik sebagai pusat pengeluaran ikan bilis berkualiti tinggi yang menjadi penanda aras industri tersebut.

“Pulau Pangkor kekal sebagai lokasi utama pendaratan ikan bilis negara dengan hasil yang memberi impak besar kepada ekonomi nelayan dan komuniti setempat,”ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI