PUO, KKSB ungguli BIM Challenge 2025

IPOH – Hanya dalam tempoh enam jam, pelajar perlu menghasilkan model pusat komuniti dua tingkat yang merangkumi tiga disiplin utama iaitu seni bina, kejuruteraan struktur, dan sistem perpaipan, dalam pertandingan akhir BIM Challenge 2025.

Seramai 45 peserta melibatkan tiga kategori iaitu Diploma/Sijil, Ijazah dan Antarabangsa bersaing bagi menghasilkan, menghubung dan menganalisis maklumat digital model-model sepanjang perkembangan projek pembinaan berdasarkan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM).

Pertandingan itu bermula dengan sesi saringan pada 4 Jun membabitkan pelajar dari pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk dari luar negara dan pertandingan akhir berlangsung semalam.

Pemenang tempat pertama kategori Ijazah, Wan Amirrul Afruz Wan Azhar, 25, mengakui tidak menyangka akan dipanggil naik ke pentas untuk menerima anugerah tersebut.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Seni Bina dari Politeknik Ungku Omar (PUO) itu berkata, kejayaannya bukan kerana rekaan yang sempurna, tetapi lebih kepada usaha menyiapkan tugasan mengikut kriteria markah tertinggi.

“Berdasarkan hasil akhir projek yang dihantar, saya lihat terdapat beberapa kekurangan namun yang membuatkan saya berpeluang dapat naik ke atas pentas bukan atas rekaan yang sempurna tetapi tekad untuk menyiapkan projek tersebut.

“Jika dibandingkan dengan hasil peserta lain, rekaan mereka lebih cantik, warna lebih menarik, tetapi mungkin kesuntukan masa untuk buat penghantaran pada saat akhir,” kata anak bongsu daripada tiga adik beradik itu.

PUO, KKSB ungguli BIM Challenge 2025
Pemenang pertandingan akhir BIM Challenge 2025 bergambar kenangan pada Majlis Penutup pertandingan tersebut di PUO, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 06 OGOS 2025.

Sementara itu, bagi kategori Diploma/Sijil, pelajar dari Kolej Komuniti Sabak Bernam (KKSB), Selangor, Nurul Ain Rahmat, 22, yang kini berada di semester lima Diploma Teknologi Seni Bina, turut tidak menyangka akan meraih tempat pertama dalam pertandingan tersebut.

“Kemenangan ini memang saya tak jangka. Saya jangkakan dapat nombor tiga, tapi Alhamdulillah, saya sangat gembira dapat tempat pertama. Dengan kemenangan ini saya berharap dapat maju ke depan,” ujar anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Jelas Nurul Ain, pertandingan itu adalah satu pengalaman bermakna dalam bidang seni bina yang diceburinya.

Kedua-dua pemenang tempat pertama itu turut menyimpan hasrat untuk menjadi ‘BIM modeller’ dan mereka berharap pencapaian ini akan membuka lebih banyak peluang dalam kerjaya tersebut pada masa hadapan.

Wan Amirrul dan Nurul Ain masing-masing membawa pulang RM1,000 manakala pemenang tempat kedua membawa pulang RM500 dan ketiga, RM200. Kesemua pemenang turut menerima plak dan sijil penyertaan.

Hadiah disampaikan Pengarah Bahagian Kurikulum Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr Zamzam Mohd Walid dan Pengarah PUO, Dr Salmi Che Meh pada Majlis Penutup BIM Challenge 2025 di Dewan Jubli Perak, PUO di sini hari ini.

BIM Challenge 2025 dianjurkan Bahagian Kurikulum JPKK bersama PUO dan KKSB. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

PUO meterai LoI dengan sembilan syarikat perkasa TVET

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI