IPOH – Politeknik Ungku Omar (PUO) memperkukuh hubungan strategik bersama industri menerusi Majlis Menandatangani Surat Hasrat (LOI) yang melibatkan lapan organisasi rakan kolaborasi pelbagai bidang di Dewan Jubli Perak, PUO di sini pada Rabu.
Majlis berkenaan diadakan sempena Program Career Connect @ PUO 2025, serta pelancaran Bulan Kaunseling Peringkat PUO 2025 membabitkan lebih 1,000 peserta daripada kalangan pelajar, graduan dan wakil industri.
Pengarah Politeknik Ungku Omar, Dr Salmi Che Meh berkata, LOI yang dimeterai itu menjadi platform kerjasama merangkumi penempatan latihan industri dan peluang pekerjaan pelajar, latihan serta pembangunan staf, penyelidikan bersama, perkongsian kemudahan dan pemindahan ilmu.
Menurutnya, inisiatif tersebut selaras dengan aspirasi PUO untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan pihak industri bagi memperkasa kebolehpasaran graduan serta menyokong agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.
“Kolaborasi strategik ini bukan sekadar membuka ruang kepada pelajar menjalani latihan industri, tetapi juga memperkukuh perkongsian kepakaran serta sumber antara PUO dan industri.
“Langkah ini penting dalam memastikan graduan kita memiliki kemahiran yang relevan, berdaya saing dan memenuhi keperluan pasaran semasa,” katanya ketika berucap merasmikan majlis tersebut.
Beliau berkata, usaha berterusan menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi dan syarikat akan terus menjadi keutamaan PUO dalam memastikan ekosistem pendidikan teknikal terus berkembang seiring dengan keperluan industri dan komuniti setempat.
“Lapan organisasi yang menandatangani LOI bersama PUO ialah International Cultural Communication Center Malaysia, Barakah Systems Sdn Bhd, Association of Chartered Certified Accountants, Kopetro Food Sdn Bhd, Proweld Training Centre Sdn Bhd, Crescent Gear Solution Sdn Bhd, Universitas Dian Nusantara dan Hande (Malaysia) Sdn Bhd,” ujarnya.
Majlis berkenaan turut disertai wakil industri, ahli akademik, serta pelajar-pelajar PUO yang mengambil peluang berinteraksi secara langsung dengan wakil syarikat dalam sesi temu duga terbuka dan seminar kerjaya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: