PUO politeknik pertama dilantik Pusat Penilaian APEL.A

IPOH – Politeknik Ungku Omar (PUO) dilantik sebagai Pusat Penilaian Akreditasi Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL.A) Dalaman oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) mulai 28 November 2024.

PUO dalam satu kenyataan berkata, pelantikan tersebut menjadikan ia sebagai institusi pertama di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) yang memperoleh status berkenaan.

Katanya lagi, pusat penilaian tersebut berfungsi sebagai pusat sehenti untuk permohonan dan penilaian APEL.A dan memberi bimbingan kepada calon sepanjang proses penilaian.

Selain itu, kenyataan tersebut memaklumkan ia turut mengurus proses penerimaan permohonan dan menetapkan tarikh penilaian serta melantik panel penilai portfolio untuk memastikan penilaian yang telus dan berkualiti.

“APEL.A adalah satu proses sistematik yang melibatkan pengiktirafan pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu untuk kemasukan ke pelbagai peringkat program pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT).

“Ia membuka peluang kepada individu yang mempunyai pengalaman kerja tetapi tidak memiliki kelayakan akademik formal untuk melanjutkan pengajian.

“Pusat Penilaian APEL.A PUO menawarkan tiga tahap penilaian iaitu APELT-3 melibatkan kemasukan ke program sijil (umur minimum 19 tahun); APELT-4, kemasukan ke program diploma (umur minimum 20 tahun) dan APEL T-6 iaitu kemasukan ke program ijazah sarjana muda (umur minimum 21 tahun).

“Kriteria asas permohonan APEL.A adalah pemohon warganegara Malaysia, mencapai umur minimum yang ditetapkan mengikut peringkat kelayakan serta mempunyai pengalaman kerja yang bersesuaian,” katanya pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, kenyataan tersebut memaklumkan, pelantikan PUO sebagai Pusat Penilaian APEL.A bertujuan menyokong hasrat negara dalam membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dan meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi.

“Di samping itu, ia secara tidak langsung mempercepatkan laluan pendidikan serta kerjaya, mengiktiraf pembelajaran tidak formal dan pengalaman kerja serta mampu mengukuhkan keyakinan diri individu untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara,” jelasnya.

Kenyataan tersebut berkata, menerusi pengiktirafan tersebut, PUO membuka ruang kepada masyarakat, terutamanya golongan pekerja yang ingin meningkatkan kelayakan akademik mereka tanpa perlu mempunyai kelayakan asas akademik secara konvensional.

“APEL.A menjadi jalan pintas kepada mereka yang memiliki pengalaman luas untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya.

Maklumat lanjut berhubung permohonan APEL.A PUO boleh diperolehi dengan menghubungi penyelaras APEL.A PUO (Siti Zarida) di talian 1-300-88-1969. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

PUO dipilih Singapore Polytechnic anjur LeX 2024

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI