Pusat Khidmat Parlimen Tambun terima memorandum Sekretariat Selamatkan Malaysia

IPOH – Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun menerima memorandum tuntutan daripada Sekretariat Selamatkan Malaysia pada himpunan ‘Mahkamah Rakyat Hukum Anwar’, di Meru Raya dekat sini, pada Sabtu.

Memorandum itu diserahkan pengerusi sekretariat, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz kepada Pegawai Khas Ahli Parlimen Tambun, Mohamad Hairul Amir Sabri, sebelum himpunan berakhir.

Ketika ditemui pemberita Mohamad Hairul berkata, Kerajaan Perpaduan sentiasa bersifat terbuka untuk mendengar pandangan dan kritikan daripada mana-mana pihak selagi ia tidak menjejaskan keharmonian masyarakat serta mengikut lunas undang-undang.

Pusat Khidmat Parlimen Tambun terima memorandum Sekretariat Selamatkan Malaysia memorandum perhimpunan himpunan meru
Pegawai Khas Ahli Parlimen Tambun Mohamad Hairul Amir Sabri pada sidang media ketika Himpunan Mahkamah Rakyat Hukum Anwar di Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun, Meru Raya, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 27 JULAI 2024.

Katanya, memorandum itu akan disampaikan kepada Ahli Parlimen Tambun yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minggu hadapan.

“Kita terima (memorandum) dan daripada segi prinsip demokrasi, ini adalah kebebasan untuk mana-mana orang bersuara dan menyatakan ketidakpuasan hati.

“Bagaimanapun, ia harus mengikut lunas undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan negara,” katanya.

Pusat Khidmat Parlimen Tambun terima memorandum Sekretariat Selamatkan Malaysia memorandum perhimpunan himpunan meru
Suasana sekitar peserta Himpunan Mahkamah Rakyat Hukum Anwar berhampiran Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun, Meru Raya, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 27 JULAI 2024.

Antara tuntutan yang digariskan adalah meminta kerajaan segera menunaikan janji reformasi, menangani kos sara hidup rakyat, menjamin hak kebebasan bersuara dan menghapuskan amalan salah guna kuasa.

Terdahulu kira-kira 400 orang berhimpun pada himpunan Mahkamah Rakyat Hukum Anwar yang diadakan di sebuah kawasan lapang berhampiran bangunan Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun.

Pusat Khidmat Parlimen Tambun terima memorandum Sekretariat Selamatkan Malaysia memorandum perhimpunan himpunan meru
Wakil Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun mengedarkan roti kepada peserta Himpunan Mahkamah Rakyat Hukum Anwar di berhampiran Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun, Meru Raya, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 27 JULAI 2024.

Selain peserta mengenakan pakaian hitam, himpunan yang bermula sekitar jam 3.45 petang itu dikawal oleh anggota polis bagi memastikan tiada sebarang perkara tidak diingini berlaku.

Perhimpunan itu berlangsung secara aman dan lancar tanpa sebarang insiden seperti provokasi atau pergaduhan.

Anggota polis berkawal sekitar Himpunan Mahkamah Rakyat Hukum Anwar berhampiran Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun, Meru Raya, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 27 JULAI 2024.

Beberapa individu turut berucap menggunakan pembesar suara di atas ‘pentas’ pacuan empat roda (4WD) bagi menyuarakan tuntutan terhadap kepimpinan Anwar.

Ketika berlangsung, kakitangan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun turut mengedarkan roti dan air mineral kepada peserta perhimpunan.

Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard menyampaikan ceramah ketika Himpunan Mahkamah Rakyat Hukum Anwar berhampiran Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun, Meru Raya, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 27 JULAI 2024.

Tun Faisal ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya menggesa agar kesemua tuntutan yang dinyatakan dalam memorandum itu diambil perhatian pihak kerajaan.

Ujar beliau, selepas ini himpunan sama akan diadakan di Permatang Pauh, Pulau Pinang pada 31 Ogos depan.

“Himpunan aman seperti ini (adalah ruang untuk) rakyat menyuarakan pandangan mereka kepada kerajaan sebagaimana selaras dengan lunas demokrasi,” katanya lagi.

Ketua Penerangan Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia, Irwan Fahmi Idris pada sidang media ketika Himpunan Mahkamah Rakyat Hukum Anwar berhampiran Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun, Meru Raya, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 27 JULAI 2024.

Pada Jumaat, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, polis memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang menyertai himpunan itu

Ia susulan pemakluman berkenaan perhimpunan itu didapati tidak lengkap serta tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) termasuk dari segi kebenaran pemilik tanah. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Tindakan tegas jika sertai Himpunan Mahkamah Rakyat Hukum Anwar

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI