IPOH – Pusat pelancongan bukit batu kapur yang diarah tutup sementara selepas mengambil kira syor diberikan Jawatankuasa Khas Pembangunan Kawasan Gua dan Kaki Bukit Negeri Perak masih belum boleh dibuka kepada orang ramai.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, jawatankuasa terbabit telah menasihatkan kerajaan negeri supaya mengutamakan keselamatan pengunjung berbanding keuntungan dalam sektor pelancongan.
“Sejujurnya saya mengalami tekanan yang amat besar kerana tahun ini adalah Tahun Melawat Perak. Apabila kita menutup kawasan tersebut maka kita akan kekurangan pengunjung sebab mereka mungkin hendak ke tempat itu.
“Bagaimanapun, kita melihat bahawa keselamatan adalah perkara yang paling utama dan tidak dapat ditukarkan dengan wang ringgit ataupun nombor pengunjung.
“Jadi, semua tempat yang telah diarahkan tutup sementara, kita bukan tutup untuk selama-lamanya. Mereka akan tutup sementara sehingga mereka dapat buktikan ada usaha-usaha untuk mitigasi dari segi ciri-ciri keselamatan,” katanya pada sidang media di Pejabat Tourism Perak di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Sze Yee memaklumkan terdapat sekurang-kurangnya dua pusat pelancongan bukit batu kapur yang ditutup sementara iaitu Perkampungan Riadah dan Budaya Qing Xin Ling dan Gunung Lanno di Ipoh.
Pada 17 April lalu, media melaporkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) diarahkan untuk mematuhi pekeliling yang akan dikeluarkan Jawatankuasa Khas Pembangunan Kawasan Gua dan Kaki Bukit Negeri Perak dalam masa terdekat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jawatankuasa yang dipengerusikan Pengarah Tanah dan Galian PTG Perak, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip itu diwujudkan pada 2022 bagi pembangunan di kawasan kaki bukit dan dalam gua batu kapur di negeri ini selamat.
Menurutnya, jawatankuasa terbabit juga membuat dasar melibatkan gua-gua untuk dijadikan sebagai lokasi pelancongan, pusat meditasi dan sebagainya termasuklah Perkampungan Riadah dan Budaya Qing Xin Ling di Gunung Rapat.
Katanya, jawatankuasa ini akan mengeluarkan satu pekeliling kepada semua PBT, pengusaha dan semua agensi yang terlibat supaya mereka berhati-hati dan melaksanakan kerja-kerja mitigasi mengikut piawaian yang betul, bukan sekadar ambil syarat sahaja.
Media sebelum ini melaporkan seorang pemandu pelancong maut ditimpa bongkah batu seberat lima kilogram (kg) ketika mengunjungi sebuah kawasan pelancongan di Gunung Rapat, 8 April lalu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PBT perlu patuhi pekeliling pembangunan gua, kaki bukit – MB Perak
Pemandu pelancong ditimpa batu: Perak bentang laporan dalam MMK esok