Pusat simpanan data utama agensi kerajaan akan dibina di Bagan Datuk

KUALA LUMPUR – Pembangunan Pusat Data Peringkat Empat di Bagan Datuk, Perak berpotensi menjadi pusat simpanan data utama pelbagai agensi kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, projek yang dijangka bermula Oktober 2026 itu akan menjadi infrastruktur strategik milik kerajaan susulan peningkatan teknologi digital yang mendadak seperti big data analytics, Internet of things (IoT), blockchain technology, artificial intelligence (AI) dan cybersecurity.

“Pusat data ini akan membolehkan penyimpanan data yang kini terkumpul di pelbagai lokasi disatukan di satu lokasi strategik.

“Langkah ini akan menghasilkan kecekapan kos, keselamatan data yang lebih terjamin, dan pengoptimuman penggunaan sumber kerajaan secara menyeluruh,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) antara Mara Incorporated Sdn Bhd, Felcra Berhad dan Privasiabytes Sdn Bhd, di sebuah hotel di sini, hari ini

Hadir sama Menteri Besat Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk turut yakin pusat data itu akan menjadi hab penyimpanan lebih selamat dan terjamin yang akhirnya akan memperkukuhkan lagi keupayaan kerajaan dalam era ekonomi digital.

Ahmad Zahid

“Usaha membangunkan the Fourth Tier Data Center di Bagan Datuk ini bakal memperlihatkan daerah ini juga mempunyai potensi dalam sektor teknologi, setanding dengan pusat metropolitan lain di seluruh dunia,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yakin pusat data itu akan menyediakan infrastruktur kritikal untuk menyokong operasi perniagaan moden, membuka peluang dalam sektor seperti perkhidmatan kewangan, perdagangan elektronik, dan industri teknologi tinggi,” katanya.

Sementara itu, Saarani ketika berucap pada majlis berkenaan berkata, pusat data tersebut bakal memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan digital kerajaan, termasuk kemudahan akses kepada maklumat perkhidmatan seperti bantuan dan peruntukan kerajaan.

Dengan inisiatif tersebut, kerajaan negeri tidak hanya membangunkan sebuah pusat data, tetapi juga memacu transformasi digital negeri Perak, menjadikannya contoh kepada negeri-negeri lain di Malaysia.

“Kerajaan Negeri Perak menyediakan insentif kepada pelabur, termasuk sokongan dari segi dasar, infrastruktur dan jaringan bagi memastikan ekosistem digital yang dinamik dan mampan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI