TAPAH – Pergerakan Puteri UMNO terus melipatgandakan usaha menyantuni pengundi wanita muda sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang kini memasuki fasa akhir.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, gerak kerja menyasarkan kelompok wanita muda, termasuk pengundi kali pertama, telah dimulakan sejak hari pertama kempen.
“Setakat ini, Puteri telah masuk ke semua kawasan dan menyantuni golongan wanita muda. Dari segi kehadiran jentera, memang ada naik turun dari segi peratusan, tapi itu perkara biasa,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak di Kompleks Sukan Tapah, di sini.
Beliau menegaskan bahawa jentera Puteri tidak pernah berputus asa meskipun masa berkempen agak terhad, dan terus berusaha memastikan kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN).
“Kita tahu masa kita terhad. Ini peluang untuk kita buat yang terbaik demi calon dan parti. Setiap hari ada penambahbaikan dilakukan agar kelemahan dapat diperbaiki menjelang hari pengundian,” ujarnya.
Tambah beliau, tumpuan utama bukan hanya kepada kemenangan calon semata-mata, sebaliknya kemenangan menyeluruh BN.
“Kita tidak pandang calon sahaja. Apa yang kita bawa adalah BN. Kita berhutang kepada pengundi muda yang merupakan harapan masa depan parti,” jelasnya.
Ditanya mengenai penerimaan pengundi muda wanita terhadap calon BN, beliau berkata respons setakat ini sangat positif, terutama kerana calon adalah seorang guru yang dikenali dan mudah didekati.
“Walaupun ada yang baru berusia 20an dan mungkin tidak begitu cakna soal politik, mereka selesa dengan pendekatan calon. Naluri seorang pendidik itu menjadikan beliau tidak kekok bergaul dengan orang muda,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa jentera Puteri menyantuni semua kelompok pengundi tanpa mengira latar belakang.
“Kita tidak hanya dekati pengundi putih dan kelabu, malah pengundi hitam juga disantuni. Satu undi pun sangat bermakna bagi BN dalam PRK ini,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PRK Ayer Kuning: Pengundi luar mahu pulang pilih wakil rakyat